PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempertahankan langkah terbaru beberapa negara mengiktiraf negara Palestin dan menolak pandangan bahawa ia seolah-olah memberi ganjaran kepada Hamas.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB António Guterres, Stephane Dujarric berkata, pengiktirafan itu sebenarnya mempertegaskan hak rakyat Palestin untuk memiliki negara sama seperti hak rakyat Israel.

Beliau menambah bahawa Hamas sendiri tidak menyokong penyelesaian dua negara.
‘’Walaupun Israel dan Amerika Syarikat kekal menentang, namun kebanyakan pemimpin duniai melihat penyelesaian dua negara sebagai satu-satunya jalan ke arah keamanan dan kestabilan serantau pasca perang Gaza,’’ kata Dujarric dalam satu wawancara bersama Arab News
Dujarric menegaskan sekali lagi bahawa Negara Palestin bukanlah hadiah, sebaliknya hak mutlak rakyat Palestin — sama seperti hak rakyat Israel untuk memiliki negara mereka.
Mengenai kredibiliti PBB, beliau berkata, ia semakin tercalar akibat kebuntuan di Majlis Keselamatan, perang di Gaza, serta persepsi berkaitan kegagalan untuk bertindak.
Beliau mengakui kelemahan itu menjejaskan “jenama PBB,” khususnya apabila Majlis Keselamatan gagal sepakat mengenai isu Gaza, Ukraine, Syria, dan Sudan.
Dujarric menegaskan bahawa PBB bukanlah sebuah entiti tunggal yang bertindak di bawah satu arahan, justeru tidak mungkin “bersuara dengan satu suara.”
Mengenai pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin di Gaza, beliau menjelaskan bahawa Guterres tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan tindakan Israel sebagai genosid kerana bidang kuasa itu hanya terletak pada badan kehakiman.
Sebaliknya kata beliaum tumpuan Setiausaha Agung ialah kepada krisis kemanusiaan: korban awam yang besar, kebuluran, dan sekatan bantuan.
Beliau menolak dakwaan bahawa Guterres berdiam diri, dengan menegaskan bahawa Setiausaha Agung itu telah diisytiharkan persona non grata di Israel kerana ketegasannya ketika menggambarkan keadaan di Gaza.


