MALAYSIA mengecam sekeras-kerasnya serangan udara rejim Israel yang menyasarkan ibu negara Qatar, Doha, pada Selasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan ganas itu jelas melanggar kedaulatan Qatar dan merupakan pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa.
‘’ “Malaysia menggesa komuniti antarabangsa untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas tindakan agresif yang keterlaluan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, serangan tersebut bukan sahaja mengancam nyawa orang awam, malah menjejaskan kestabilan rantau yang ketika ini berada dalam keadaan rapuh.
“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha. Tindakan ini merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Qatar dan pencabulan undang-undang antarabangsa.
“Ia secara cuai membahayakan nyawa orang awam, menyerang jantung sebuah ibu negara berdaulat, serta mengancam kestabilan rantau yang sememangnya rapuh,” katanya
Anwar berkata, tindakan menyasarkan Qatar yang memainkan peranan penting sebagai negara mediator dan penggerak dialog di Timur Tengah, Israel jelas menunjukkan sikap tidak menghormati usaha keamanan.
“Serangan sebegini tidak boleh dipertahankan dan sama sekali tidak boleh diterima,’’ katanya.
Beliau menegaskan Malaysia berdiri teguh bersama Qatar dalam menghadapi situasi ini dan menggesa komuniti antarabangsa supaya mengambil tindakan segera.


