IRAN memberi amaran akan menyasarkan kepentingan ekonomi dan perbankan yang mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel di rantau ini selepas serangan dilaporkan berlaku terhadap sebuah bank di negara itu.
Jurucakap Markas Komando tentera Khatam al-Anbiya di Tehran berkata langkah itu diambil susulan serangan yang didakwa dilancarkan oleh AS dan Israel terhadap sebuah bank Iran.
Menurut laporan agensi berita, sebuah bangunan pentadbiran yang berkaitan dengan Bank Sepah, antara bank awam terbesar di Iran yang mempunyai hubungan sejarah dengan pihak tentera, telah terkena serangan pada malam sebelumnya di Tehran.
“Selepas kempen mereka gagal, tentera pengganas AS dan rejim Zionis yang kejam telah menyasarkan salah satu bank di negara ini,” kata Ebrahim Zolfaqari seperti dipetik media kerajaan Iran.
Beliau menambah bahawa tindakan yang disifatkannya sebagai tidak sah itu memaksa Iran memperluaskan sasaran serangan.
“Dengan tindakan yang tidak sah dan luar biasa ini, musuh telah memaksa kami untuk menyasarkan pusat-pusat ekonomi dan bank-bank yang berkaitan dengan AS dan rejim Zionis di rantau ini,” katanya.
Jurucakap itu turut memberi amaran kepada orang ramai di kawasan berkenaan supaya menjauhi bank-bank yang berpotensi menjadi sasaran dalam radius sekurang-kurangnya 1,000 meter.
Dalam perkembangan berkaitan, agensi berita Tasnim News Agency melaporkan bahawa Iran juga mungkin menyasarkan syarikat teknologi Amerika Syarikat.
Agensi itu menerbitkan senarai pejabat serta infrastruktur yang dikendalikan oleh beberapa syarikat teknologi utama Amerika yang didakwa mempunyai hubungan dengan Israel dan teknologinya digunakan dalam aplikasi ketenteraan.
Antara syarikat yang disebut termasuk Google, Microsoft, Palantir Technologies, IBM, Nvidia dan Oracle Corporation.
Pejabat serta infrastruktur perkhidmatan berasaskan awan milik syarikat-syarikat tersebut dilaporkan terletak di beberapa bandar di Israel serta beberapa negara Teluk.
“Seiring dengan meluasnya skop peperangan serantau kepada peperangan infrastruktur, skop sasaran sah Iran juga semakin berkembang,” menurut laporan agensi tersebut.


