KOR Pengawal Revolusi Islam Iran IRGC) melancarkan gelombang ke-40 serangan dalam Operasi Janji Sejati 4, dengan menghujani Israel menggunakan pelbagai jenis peluru berpandu balistik.
Menurut kenyataan Bahagian Perhubungan Awam IRGC, peluru berpandu termasuk Qadr , Emad, Khaibar Shekan dan Fattah dilancarkan ke arah beberapa sasaran di Israel serta lokasi yang menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat di rantau itu.
Serangan tersebut dilaporkan menyasarkan kawasan di Tel Aviv, wilayah di Jerusalem yang diduduki, serta Haifa. Selain itu, pangkalan tentera AS di rantau berkenaan turut menjadi sasaran, termasuk Azraq Air Base dan Al Kharj Air Base.
Menurut kenyataan itu lagi, operasi berkenaan dilaksanakan secara bersama dengan apa yang disebut sebagai “pasukan perlawanan Islam”, merujuk kepada kumpulan Hezbollah di Lubnan.
Pada masa sama, Hezbollah dilaporkan melancarkan sekurang-kurangnya 100 roket ke arah Israel utara. Media Israel melaporkan siren amaran serangan udara kedengaran di banyak penempatan di utara dan juga di Israel tengah selepas dua gelombang peluru berpandu Iran dikesan.
Amaran baharu turut dikeluarkan di wilayah utara yang diduduki susulan serangan dron dari Lubnan, khususnya di Golan Heights, Metula dan Misgav Am. Beberapa laporan menyatakan terdapat impak langsung apabila peluru berpandu mengenai kawasan yang diduduki Israel.
Siren turut berbunyi di Haifa dan di seluruh wilayah Galilea ketika serangan roket Hezbollah dari Lubnan. Tentera Israel memberi amaran bahawa Hezbollah mungkin akan meningkatkan kadar serangan roket dan dron terhadap Israel.
Serangan ini dianggap sebagai yang terbesar oleh Hezbollah sejak ketegangan meningkat awal bulan ini. Setakat ini, tiada laporan mengenai kecederaan akibat serangan tersebut.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dilaporkan memberitahu anggota kabinet bahawa perang masih jauh daripada berakhir.
“Kita masih belum menghampiri penghujung perang. Masih banyak sasaran lagi, namun kemajuannya sangat baik dan kita bergerak lebih pantas daripada jadual,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, sumber keselamatan Iran memberitahu Al Jazeera bahawa serangan berterusan Amerika Syarikat terhadap Iran berpotensi membawa kepada fasa baharu konflik di rantau itu.
Sumber berkenaan turut memberi amaran bahawa selain Selat Hormuz, selat strategik lain mungkin akan menghadapi nasib yang sama jika konflik terus meningkat, namun tidak memperincikan lokasi yang dimaksudkan.


