ANALISIS
SEMALAM beberapa jam selepas Israel mencabul kedaulatan Qatar dengan menyerang Doha atas alasan mahu membunuh pemimpin Hamas, beberapa pemimpin Arab turun ke Doha.
Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed bertemu dengan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani di Doha untuk membincangkan serangan Israel itu dan sekali lagi menegaskan bahawa UAE bersolidariti bersama Qatar serta menyokong apa juga langkah negara itu demi menjaga kedaulatan, integriti wilayah dan rakyatnya.
Putera Mahkota Arab Saudi, Mohamad Salman pula menerima panggilan telefon dari Raja Jordan, Raja Abdullah II bagi membincangkan perkara sama. Kelmarin beberapa jam selepas serangan biadab itu, Perdana Menteri Qatar memberi amaran bahawa negaranya berhak untuk bertindak balas terhadap serangan maut Israel ke atas Hamas di Doha dan menyifatkannya sebagai “saat penting” bagi rantau itu.
“Qatar… berhak untuk bertindak balas terhadap serangan terang-terangan ini. Kami percaya bahawa hari ini kami telah mencapai detik penting. Mesti ada tindak balas dari seluruh wilayah terhadap tindakan biadab itu,” kata ,” kata Perdana Menteri Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani pada sidang akhbar.
Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani memberitahu Presiden AS Donald Trump dalam panggilan telefon bahawa negaranya akan mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi keselamatan dan memelihara kedaulatannya.
Persoalannya apakah yang akan dilakukan oleh negara-negara Arab itu bagi mengajar kebiadaban Israel tersebut? Apakah mereka sekadar mengecam dan mengutuk rejim Zionis itu? Atau adakah mereka akan memilih untuk menyerang kembali Israel yang kini sedang memusnahkan Gaza?
Penulis percaya kekuatan negara Arab dalam berhadapan dengan Israel adalah sekadar mengecam dan mengutuk sahaja, mereka sama sekali tidak akan melakukan tindakan ketenteraan. Ia memandangkan hampir ke semua negara Arab termasuklah Qatar adalah sekutu Amerika Syarikat (AS) dan Presiden AS Donald Trump adalah sahabat karib Benjamin Netanyahu.
Kalau negara-negara Arab mahu bertindak ke atas Israel sudah lama mereka lakukan apabila rejim Zionis menyerang Gaza dan membunuh lebih 64,000 orang serta sedang melancarkan serangan darat habis-habisan untuk menguasai wilayah itu sepenuhnya.
Tetapi adakah negara Arab berusaha menghalang keganasan Israel itu? Sudah pasti tidak! Berikutan itulah Netanyahu tidak berasa gentar dengan apa juga kecaman pemimpin Arab yang bergabung dalam Liga Arab. Di dalam liga itu ada 22 negara termasuklah Mesir yang dikatakan mempunyai pasukan tentera paling kuat di benua Arab dan nombor 14 di dunia. Malangnya Mesirpun sekutu Israel.
Pada masa sama mereka juga menyertai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mempunyai 57 buah negara tetapi apa yang Liga Arab atau OIC boleh lakukan ke Israel? Tidak ada apa-apa sebab itulah negara Palestin sedang dihancurkan oleh rejim Zionis!

Apabila Qatar berkata, ‘’Qatar..berhak untuk bertindak terhadap serangan ini’’, penulis fikir Netanyahu dan Trump pun tersenyum sebab mereka tahu ia hanya gertakan politik sahaja. Mana mungkin Qatar akan angkat senjata menyerang Israel. Kalau sekadar mahu bermimpi, boleh sahaja.
AS pastinya tidak akan membenarkan Israel diserang dan akan menganggap jika itu dilakukan ia adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa tetapi Trump langsung tidak menyebut soal pelanggaran itu apabila Israel menyerang Qatar.
Justeru serangan ke atas Qatar walaupun sudah mencabul kehormatan, kedaulatan dan maruah negara itu namun kita hanya akan sekadar mendengar kutukan dan kecaman daripada pemimpin Arab. Sebabnya mereka tiada kekuatan untuk memberi pengajaran kepada Israel, begitu juga dengan Arab lain.
Israel tidak peduli pun kecaman negara Arab kerana di belakang mereka ada AS yang pada Mac lalu melalui Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, mengumumkan bahawa beliau telah menandatangani deklarasi bagi mempercepatkan penghantaran kira-kira $4 bilion dalam bantuan ketenteraan kepada Israel.
Beliau menegaskan bahawa Amerika Syarikat akan terus menggunakan semua instrumen yang tersedia bagi menunaikan komitmen jangka panjang terhadap keselamatan Israel, termasuk dalam menangani ancaman keselamatan.
Kalau begitulah keadaannya, agak lucu bila ada negara yang mengharapkan AS akan menghentikan penjajahan Israel di bumi Palestin. Lanjutan itu Israel akan terus mengganas, entah negara mana pula yang akan diserang selepas ini atas alasan memburu pemimpin Hamas.


