IKATAN Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) meminta media kedua-dua negara memberikan naratif yang tepat berkaitan isu penyelesaian sempadan darat bagi sektor Sabah-Kalimantan Utara (KALTARA).
Presiden ISWAMI Malaysia Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata rundingan untuk penandaan dan pengukuran di kawasan Outstanding Boundary Problem (OBP) itu telah dilaksanakan secara harmoni dan tidak bersandarkan kepada prinsip timbal balik, pampasan atau untung rugi.

“ISWAMI berharap media massa memberikan laporan yang tepat, benar dan berpegang kepada prinsip dan etika kewartawanan dan tidak memberikan naratif yang boleh mengeruhkan hubungan baik kedua-dua negara,” katanya.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan hari ini menegaskan laporan media bertarikh 22 Januari 2026 yang menyatakan “Malaysia memberikan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan untuk tiga kampung kawasan Nunukan, berdekatan sempadan Sabah-Kalimantan” adalah tidak tepat.
Pemuktamadan pengukuran sempadan darat ini dibuat melalui pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara pada 18 Februari 2025 selepas melalui proses rundingan teknikal yang komprehensif dan telus selama lebih 45 tahun.
Hasrat Malaysia dan Indonesia untuk menyegerakan penyelesaian isu sempadan darat bagi sektor Sabah-KALTARA telah dipersetujui semasa lawatan negara mantan Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia pada 8 Jun 2023. Proses rundingan turut melibatkan wakil Kerajaan Negeri Sabah sebagai sebahagian delegasi Malaysia.
“ISWAMI yakin pimpinan kedua-dua negara telah mengambil pendekatan diplomasi berlandaskan semangat muhibah dan setiakawan, ” kata Ahmad Zaini.
ISWAMI juga berharap kerajaan kedua-dua negara memberikan taklimat khas kepada media, bagi menjelaskan isu berkenaan supaya lebih jelas untuk dihebahkan kepada rakyat dan tidak menimbulkan pelbagai spekulasi negatif.


