PERSATUAN Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) menegaskan, Malaysia tidak boleh memandang ringan implikasi akibat kejatuhan mendadak pasaran kewangan Amerika Syarikat (AS) terhadap ekonomi Malaysia, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta usahawan Bumiputera.
Presiden Mohd Azamaizam Baharon berkata, walaupun punca utama kejatuhan ini disebabkan faktor luaran seperti dasar monetari AS, kenaikan hasil bon, serta sentimen risiko global namun persatuan itu menjangkakan beberapa kesan langsung kepada Malaysia.
‘’Tekanan berterusan terhadap nilai ringgit susulan pengukuhan dolar AS, aliran keluar dana asing yang boleh menjejaskan pasaran saham tempatan; kos pembiayaan yang kekal tinggi akibat kekangan penurunan kadar faedah, serta sikap lebih berhati-hati institusi kewangan dalam menyalurkan pembiayaan kepada PMKS.
‘’ Keadaan ini berisiko menjejaskan aliran tunai, kos operasi dan perancangan pengembangan perniagaan, khususnya bagi usahawan kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi negara,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas perkembangan terbaru ekonomi AS yang menyaksikan penghakisan nilai aset global bernilai bertrilion dolar dalam tempoh yang singkat, termasuk pasaran saham, komoditi dan aset digital.
Mohd Azamaizam berkata, PERDASAMA menegaskan bahawa dalam fasa ketidaktentuan global, PMKS dan usahawan Bumiputera merupakan kumpulan paling terdedah, bukan kerana kelemahan dalaman, tetapi akibat tekanan sistemik pasaran kewangan global yang di luar kawalan mereka.
‘’Sekiranya tiada langkah bersasar diambil, keadaan ini boleh melambatkan pemulihan ekonomi, mengecilkan penyertaan Bumiputera dalam rantaian nilai strategikserta melemahkan daya saing PMKS tempatan,’’ katanya.
Sehubungan itu, PERDASAMA menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan langkah Memastikan dasar monetari kekal seimbang, dengan mengambil kira kemampuan PMKS menghadapi kos pembiayaan.
‘’ Mempercepat pelaksanaan projek domestik dan perolehan tempatan, khususnya melibatkan vendor PMKS dan Bumiputera, memperluas akses pembiayaan bersasar, termasuk jaminan kredit dan dana khas berasaskan keperluan sebenar industri serta mengukuhkan pasaran domestik dan kerjasama intra-ASEAN bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran Barat,’’ katanya.
Mohd Azamaizam berkata, PERDASAMA kekal komited untuk menjadi rakan strategik kerajaan dalam melindungi kepentingan usahawan Bumiputera, memperkukuh ekosistem PMKS, serta memastikan agenda Ekonomi Madani dilaksanakan secara inklusif dan mampan.
‘’PERDASAMA percaya bahawa dengan dasar yang tepat, komunikasi yang jelas dan sokongan bersasar, Malaysia mampu mengharungi ketidaktentuan global ini tanpa mengorbankan kelangsungan usahawan tempatan,’’ katanya.


