SEORANG penganggur didakwa di dua mahkamah berasingan di Sungai Petani hari ini atas pertuduhan memiliki pistol dan menakutkan jiran selain memiliki dadah dan peluru, baru-baru ini.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh, Kor Wei Ye, 37, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tanpa kebenaran sah pada 7 Disember lalu.
Lelaki itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki sepucuk pistol jenama Sigarms berwarna silver (perak) tanpa kebenaran yang sah di sebuah rumah di Bandar Laguna Merbok dekat Sungai Petani pada jam 9 pagi, 7 Disember lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Tiada jaminan ditawarkan bagi kes berkenaan dan hakim menetapkan 21 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan, manakala tertuduh diwakili peguam Chong Choon Yuen.
Di Mahkamah Majistret, Wei Ye mengaku tidak bersalah atas lima lagi pertuduhan termasuk memiliki 10 butir peluru tanpa lesen, tiga kes menakutkan secara jenayah terhadap tiga individu berbeza, serta memiliki dadah jenis ketamin.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu pada masa, tarikh dan tempat yang sama dia didakwa memiliki pistol tanpa kebenaran sah.
Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi menetapkan tarikh serahan laporan kimia bagi kes dadah pada 21 April tahun hadapan, manakala bagi kes lain ditetapkan pada 21 Januari 2026.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Adlin Sufiya Kamaruzzaman dan tertuduh diwakili peguam yang sama.
Memetik laporan media, polis pada 7 Disember lalu menahan seorang lelaki kerana disyaki mengacukan pistol kepada jiran dalam kejadian di Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani.
Suspek yang berusia lingkungan 30-an dikatakan telah mengugut mangsa menggunakan senjata menyebabkan wanita itu membuat laporan polis.


