NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan mengetuai pasukan khas UMNO untuk penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar – PSB (URA)
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pasukan Khas tersebut bertanggungjawab untuk meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU PSB sebelum dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar.
“Pasukan Khas ini bertanggungjawab meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU PSB secara terperinci sebelum dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, resolusi konvensyen itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Konvensyen tersebut melibatkan kepimpinan tertinggi UMNO daripada negeri dan bahagian seluruh Malaysia, parti-parti politik Melayu,pertubuhan bukan Kerajaan, ahli akkademik dan masyarakat sivil yang akan diadakan pada penghujung bulan September.
Pada 28 Ogos lalu media melaporkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berharap bacaan kedua RUU PSB atau URA ditangguhkan sementara dengan mengambil kira kebimbangan banyak pihak.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi melalui sesi libat urus secara menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.
Menteri Luar itu berkata BN berharap supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menangguhkan RUU tersebut dan mengadakan rundingan bersama semua pihak sebelum ia dibawa semula untuk diluluskan di Parlimen.
RUU PSB 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,Nga Kor Ming sebelum ini antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil serta inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan.


