JPJ diarah batalkan lesen PSV pemandu e-hailing terlibat gangguan seksual

LESEN Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) seorang pemandu e-hailing yang didakwa terbabit dalam insiden gangguan seksual terhadap penumpang di Johor Bahru dibatalkan serta-merta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan membatalkan lesen PSV pemandu terbabit tanpa sebarang kompromi.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya membatalkan Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) pemandu tersebut dengan serta-merta.

“Tindakan pembatalan PSV bermaksud pemandu tersebut tidak boleh berkhidmat sebagai pemandu di semua platform e-hailing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan yang menjejaskan keselamatan penumpang dan akan memastikan tindakan penguatkuasaan diambil secara tegas.

Sehubungan itu, katanya, MOT melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan memanggil semua pengendali perkhidmatan e-hailing, termasuk Grab, bagi membentangkan pelan tindakan penambahbaikan, khususnya dalam memperkukuh aspek keselamatan penumpang.

Beliau turut memaklumkan, kementerian bersedia menyokong mangsa bagi memastikan tindakan polis diambil terhadap pelaku, selaras dengan prinsip toleransi sifar terhadap sebarang bentuk gangguan seksual.

Semalam, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, polis sedang mengenal pasti seorang pemandu e-hailing yang dilihat dalam video tular didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita.

Dalam video yang dilaporkan dirakam oleh penumpang tersebut, pemandu itu dilihat menghulurkan tangan ke belakang untuk menyentuh wanita itu, namun ditepis.

Dia juga didengar bertanya umur wanita itu dan berapa ‘harganya’, dalam bahasa Mandarin.

Grab kemudiannya memohon maaf berhubung insiden itu dan berkata, pihaknya sedang menghubungi penumpang terlibat untuk menyiasat perkara berkenaan.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img