
PEMIMPIN dan ahli UMNO dari peringkat akar umbi hinggalah pemimpin tertinggi dilihat begitu berang dengan tindakan pemimpin DAP ‘meraikan’ keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan isu Titah Adendum melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mereka menyifatkan kenyataan Setiausaha Publisiti DAP Yeo Bee Yin sebagai kurang ajar, biadab, melampau dan tidak berperikemanusiaan. Presiden UMNO yang sebelum ini menyatakan beliau adalah sahabat sejati Najib membuat kenyataan ringkas, ‘’Jangan menyimbah minyak pada api yang sedang marak’’.
Bagaimanapun penulis menganggap, kenyataan Pengerusi UMNO Kedah Mahdzir Khalid, paling menarik apabila beliau menegaskan,’’kata-kata kamu mencerminkan peribadi kamu yang penuh dengan kebencian dan busuk hati terhadap UMNO.’’
Bee Yin melalui akaun media sosial menulis ‘“Another reason to celebrate this year end” – (Satu lagi sebab untuk diraikan pada penghujung tahun ini) sambil menyertakan keratan laporan portal Malaysiakini berhubung keputusan mahkamah menolak Najib menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Penulis sama sekali tidak meragui keikhlasan pemimpin-pemimpin UMNO mempertahankan Najib dan melemparkan kecaman kepada Bee Yin, lagipun selain beliau ada lagi pemimpin DAP yang turut ‘like’ dengan keputusan mahkamah itu sehingga ada yang berkata, ‘’kita tunggu Jumaat ini’’.
Mahkamah Tinggi Putrajaya menetapkan Jumaat ini untuk menyampaikan keputusan berhubung kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion terhadap Najib.
Apapun keputusan mahkamah suka atau tidak, kita perlu menghormatinya tetapi apa yang orang nak tahu sekarang, sampai ke tahap manakah kemarahan pemimpin UMNO terhadap pemimpin DAP itu?
Adakah selepas ini apabila ada pemimpin DAP memberitahu kenyataan Bee Yin tidak mewakili parti itu maka kendurlah ‘kemarahan meluap-luap’ pemimpin UMNO? Adakah selepas ini akan ada pemimpin UMNO berkata parti itu akan bertahan dalam kerajaan demi kestabilan politik negara?
Atau kemarahan meluap-luap itu akan diterjemahkan dalam perhimpunan agung UMNO (PAU) pada 14 Januari ini dengan mengisytiharkan parti tersebut keluar daripada Kerajaan Perpaduan. Sebab penulis lihat ada pemimpin yang sebelum ini begitu cepat melatah menyerang pemimpin Bersatu dan Pas apabila sesuatu isu, hanya berhujah ‘’tunggu PAU’’ – apabila langsung tidak mengecam tindakan Bee Yin.
Sebenarnya, pemimpin UMNO tidak boleh marah kepada mana-mana pemimpin DAP kerana mereka hanya konsisten mempertahankan pendirian mereka sejak dulu, kini dan selamanya. Mereka tidak akan berubah semata-mata kerana satu ketika dulu ada pemimpin UMNO kata ‘’Jangan bimbang DAP kawan kita’’.
Mereka tidak berubah hanya kerana DAP kini satu Kabinet dengan UMNO. Mereka tidak akan berubah hanya kerana pemimpin BN kata ‘’BN tidak pernah mengugut, tidak pernah goyah, malah tetap setia sebagai rakan setia dalam Kerajaan Perpaduan.’’
Sebaliknya yang menjadi persoalan sekarang, adakah kemarahan UMNO akan berubah menjelang PAU akan datang? Berubah seperti mana beberapa keputusan politik sebelum ini? Rakyat khususnya orang Melayu hendak tahu bersungguhkah UMNO mahu membela Najib, kalau bersungguh beranikah UMNO membuat keputusan keluar daripada kerajaan? Atau akhirnya perhitungan politik ‘kestabilan’ menjadi alasan?
Hakikatnya apabila baru-baru ini seorang pemimpin UMNO mahu MIC bermuhasabah berikutan kemelut sama ada mahu bersama BN atau tidak, kini yang patut bermuhasabah ialah UMNO itu sendiri.
Bermuhasabah kenapa BN yang UMNO menjadi tonggak semakin berantakan? Bermuhasabah kenapa ada pemimpin DAP tidak bersikap seperti seorang kawan walaupun sudah bergabung dalam kerajaan? Bermuhasabah kenapa UMNO semakin dipinggirkan oleh rakyat? Bermuhasabah bagaimana untuk memastikan maruah UMNO tidak terus diinjak-injak?
Justeru pendirian UMNO berhubung kenyataan Bee Yin tersebut penting untuk mengukur sejauhmanakah keberanian barisan kepimpinan UMNO melaksanakan desakan supaya UMNO keluar dari Kerajaan Perpaduan demi mempertahankan maruahnya.
Secara jujur penulis tidak menaruh harapan bahawa langkah itu akan berlaku kerana sebelum ini sudah banyak kali kesabaran UMNO diuji tetapi kesudahannya UMNO hanya bijak memberi ‘amaran dan ingatan’ tetapi akhirnya ‘habukpun tak ada’.
Atas sebab itulah bekas Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mengingatkan UMNO, ‘’“Hak untuk mengambil tindak balas politik itu adalah hak UMNO. UMNO memang ada pilihan untuk menarik diri dari kerajaan…Tetapi kalau selalu sangat mengugut untuk keluar tetapi tidak keluar pun, lama kelamaan ugutan demi ugutan di masa hadapan akan menjadi tumpul.’’
Kenyataan Rafizi itu sekaligus menampakkan bahawa pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak pernah terkejutpun dengan kemarahan meluap-luapkan UMNO. Sebab itu ada pemimpin DAP yang tampil mempertahankan Bee Yin kerana mereka tahu apa kesudahan pendirian UMNO.
Oleh itu sama-samalah kita tunggu apakah yang akan UMNO lakukan selepas ini khususnya pada PAU nanti bagi membuktikan mereka benar bersungguh-sungguh mahu membela Najib. Dan adakah label biadab, kurang ajar dan melampau yang dilontarkan akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan bagi membuktikan UMNO masih lagi bermaruah tetapi kalau tiada tindakan…apa boleh buat itulah UMNO ‘yang penuh taktikal’.


