
KETIKA Covid-19 melanda, terpampang besar kenyataan media saya di sebuah akhbar bertajuk ‘Kartel Sayur Bangla’ yang menjahanamkan jualan sayur pekebun tempatan ketika itu. Masih ingat lagi bagaimana wartawan mengikut saya berjumpa penanam cili yang kerugian begitu besar akibat mainan harga sayur oleh orang Bangladesh yang menjadi kartel di Malaysia.
Baru-baru ini, saya berkesempatan bertemu dengan usahawan kami yang terlibat dalam penternakan lembu. Belia-belia India ini adalah dalam kerangka pengeluaran lembu di kawasan Kompleks Sekuriti Makanan IGROW di Kampar, Perak.
Mereka mula merungut tentang harga lembu yang diternak di Malaysia sepenuhnya sudah tidak menguntungkan akibat dua keadaan iaitu kemasukan lembu Thailand dan wujudnya ‘kartel lembu Bangla’.
Saya yang menjadi katalis mereka sentiasa memantau masalah ini dan dimaklumkan bahawa keuntungan yang dikecapi suatu masa dahulu, kini jauh lebih rendah dan silap gaya merugikan.

Menurut mereka, harga lembu kini akan dijual dengan kadar RM2,400 seekor akibat dua masalah ini . Maka untungnya sekitar RM500 seekor sahaja, sedangkan kos makanan semakin meningkat.
Maklum mereka, berbanding 5 tahun dulu, lembu tempatan boleh dijual antara RM3,000–RM4,000 seekor kerana tiada saingan dengan ‘kartel Bangla’ dan lembu Thailand.
Saya mendengar untuk mengkaji secara lebih mendalam tentang masalah ‘kartel Bangla’ ini. Menurut mereka, kartel ini menguasai jualan di pasar borong besar di Lembah Klang dan bandar utama yang mereka juga mempunyai kuasa beli tinggi dalam kalangan warga Bangladesh di Malaysia.
Kehadiran mereka yang ramai ke Malaysia sama ada secara sah dan haram menjadikan warga Bangladesh antara pembeli daging agak besar di seluruh negara. Ia kerana mereka memberitahu orang Bangladesh sangat gemar makan daging lembu dan akan membeli dalam kuantiti yang banyak.
Menurut usahawan saya lagi, ada kes di pasar borong, walaupun penjual tempatan menjual daging pada kadar RM25 sekilo manakala penjual Bangladesh menjual dengan harga lebih tinggi seperti RM30 sekilo, namun ia tetap menjadi pilihan orang Bangladesh berbanding peniaga tempatan yang menawarkan harga yang murah.
“ Akhirnya kami juga kalah dan terpaksa menjual kepada ‘kartel Bangla’ kerana mereka mempunyai permintaan tinggi tetapi pada kadar harga murah”, kata usahawan saya itu.
Kekecewaan nampak jelas di wajah anak-anak muda kaum India yang sedang saya asuh. Mereka sudah membayangkan masa depan yang semakin mencabar dan mengecewakan sebagai penternak lembu tempatan.
Sama ada cerita sayur atau lembu Bangla, di sinilah ancaman sekuriti makanan negara terutama dalam menangani pengeluaran makanan dan kawalan kos sara hidup perlu diberi keutamaan.
Perlu ada keseimbangan di antara dasar pengeluaran makanan negara dan penguatkuasaan yang tegas dan konsisten untuk mengelakkan perkara ini terus merebak ‘menjadi api yang boleh membakar’ keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat.
Antara kegusaran anak-anak muda untuk menyertai sektor pertanian adalah tekanan harga pasaran yang sering merugikan. Begitu juga penguatkuasaan yang tidak membenarkan pendatang asing berniaga dalam Malaysia secara tidak sah (peraturan pertanian atau imigresen) sangat lemah.
Ketegasan yang serius perlu dilaksanakan secara besar-besaran. Malah jika 24 jam anggota penguatkuasa seperti PBT, Imigresen, KPKM dan lain-lain agensi perlu berada di pasar borong bagi melaksanakan penguatkuasaan maka lakukanlah.
Isu ini tidak boleh dilakukan dengan sekadar datang dan tangkap sekejap, lepas itu ‘ kartel Bangla’ muncul semula tidak berapa kemudian. Selagi kita mengambil sikap tidak kisah, maka selagi itulah barah kartel akan berleluasa yang suatu hari akan menjajah semua genap kehidupan di Malaysia. Sudah tiba masanya Total Enforcement dilakukan!
*Penulis adalah usahawan dan penganalisis sosio-ekonomi


