SEBANYAK 12 kereta terjejas termasuk tujuh kereta musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku di sebuah bengkel di Batu 3, Jalan Gambang, di Kuantan awal pagi tadi
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya menerima panggilan sekitar jam 6.15 pagi dan sepasukan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dan BBP Kuantan dihantar ke lokasi.
“Berdasarkan laporan, kebakaran membabitkan 12 kereta pelbagai jenis yang berada di luar bengkel. Daripada jumlah itu, tujuh kereta musnah 100 peratus, lima lagi musnah 20 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kejadian itu tidak membabitkan kemalangan jiwa dan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 6.43 pagi.
“Setakat ini punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.


