Kehadiran dua kapal AS di Pulau Pinang untuk urusan logistic – MENHAN

KEHADIRAN dua kapal milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), USS Santa Barbara (LCS 32) dan USS Tulsa (LCS 16) di North Butterworth Container Terminal (NBCT), Pulau Pinang dari 14 hingga 16 Mac lalu merupakan persinggahan sementara bagi tujuan logistik.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, persinggahan atau port of call itu melibatkan urusan seperti ulang bekal, penyelenggaraan ringan serta rehat anak kapal sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya.

“Kehadiran kapal tentera laut asing di pelabuhan Malaysia bukan perkara baharu dan telah lama menjadi amalan dalam hubungan pertahanan serta pelayaran antarabangsa.

“Ia merupakan sebahagian daripada aktiviti diplomasi pertahanan yang bertujuan meningkatkan keyakinan serta memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah negara,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai prosedur dan dasar yang jelas berkaitan kehadiran kapal tentera laut asing di pelabuhan komersial atau pangkalan laut.

“Setiap permohonan untuk berlabuh perlu dikemukakan melalui saluran rasmi dan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, persinggahan seperti itu turut berlaku secara berkala melibatkan kapal tentera laut dari pelbagai negara yang melalui perairan negara sama ada di Selat Melaka atau Laut China Selatan.

Jelasnya, ia termasuk bagi tujuan eksesais dua hala atau pelbagai hala serta pelaksanaan misi antarabangsa dalam memastikan kestabilan serantau dan keamanan sejagat seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled memaklumkan, sepanjang tahun lalu, Malaysia menerima sebanyak 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 negara melalui persinggahan pelabuhan.

Antara negara terlibat adalah Australia, Bangladesh, Britain, Brunei, China, India, Indonesia, Itali, Jepun, Kanada, Korea Selatan, Perancis, Singapura dan Amerika Syarikat.

Semalam, Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan memberi penjelasan berhubung laporan kehadiran aset tentera laut AS di perairan negara yang didakwa boleh menimbulkan persepsi bercanggah dengan dasar berkecuali Malaysia.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, pihaknya mengalu-alukan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pendirian Malaysia yang tidak terlibat dalam sebarang bentuk konflik antara kuasa besar.

Namun begitu kata Takiyuddin, PN memandang serius laporan media mengenai kehadiran aset tentera laut AS di perairan Malaysia, khususnya di Pulau Pinang.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img