KEMBOJA telah melancarkan serbuan besar-besaran terhadap sindiket penipuan dalam talian, menahan lebih 2,000 individu susulan tekanan daripada China agar negara itu memperketat tindakan terhadap industri penipuan sibernya.
Hampir 1,800 daripada mereka yang ditahan adalah warganegara China, menurut Kementerian Dalam Negeri Kemboja.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan bahawa polis Kemboja menjalankan operasi penguatkuasaan berskala besar pada Sabtu lalu di sebuah kompleks penipuan dalam talian di Bavet, bandar terbesar di wilayah Svay Rieng di tenggara negara itu, yang bersempadan dengan Vietnam, lapor Bangkok Post.
Seramai 2,044 warga asing ditahan, terdiri daripada 1,792 warga China, Taiwan (5) Taiwan dan Vietnam (177).
Seramai 179 lagi adalah warga Myanmar, manakala selebihnya berasal dari negara jiran Asia Tenggara dan Asia Selatan, menurut kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan tidak menyatakan sama ada Kemboja bercadang untuk mengekstradisi suspek asing tersebut ke negara asal masing-masing.
Bagaimanapun, warganegara China dijangka diserahkan kepada Beijing, seperti kes Ketua jenayah siber yang didakwa, Chen Zhi, pengasas dan Pengerusi Prince Holding Group, yang dihantar pulang pada awal Januari lalu.
Chen dituduh terlibat dalam pelbagai aktiviti haram, termasuk membuka kasino, penipuan, operasi haram serta menyembunyikan hasil jenayah.
Serbuan di Bavet itu merupakan “operasi terbesar” sejak Kemboja melancarkan tindakan keras di peringkat nasional terhadap penipuan dalam talian, lapor Cambodia China Times .
“Ini benar-benar mencerminkan bahawa Kerajaan Kemboja tidak akan melonggarkan tindakan keras terhadap penjenayah penipuan dalam talian,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Touch Sokhak, semalam.
Beliau menegaskan bahawa Kemboja “bukan tempat perlindungan selamat, tetapi neraka bagi penjenayah”.
Kompleks di Bavet itu terdiri daripada 22 bangunan dan beroperasi dengan berselindung di sebalik sebuah kasino. Ia dilaporkan telah lama digunakan untuk aktiviti haram, termasuk penipuan telekomunikasi dan dalam talian.
Tindakan serentak turut dijalankan di beberapa wilayah lain, termasuk wilayah Sihanoukville, kira-kira 250 kilometer ke barat daya ibu negara Phnom Penh.
Tekanan tinggi melalui operasi berterusan itu menyebabkan beberapa pusat penipuan ditutup secara sukarela, dengan individu yang terlibat meninggalkan kawasan berkenaan, menurut Cambodia China Times.
China sejak beberapa tahun kebelakangan ini memperhebatkan usaha membanteras penipuan telekomunikasi dan dalam talian, pada awalnya menyasarkan rangkaian penipuan yang beroperasi di utara Myanmar.
Setelah sindiket tempatan itu sebahagian besarnya dibongkar atau berpindah, tumpuan kini beralih ke Kemboja yang mempunyai pusat penipuan yang semakin berkembang.
Jenayah penipuan dalam talian, penahanan haram dan jenayah rentas sempadan berkaitan “menjadi halangan serius” kepada pendalaman kerjasama antara kedua-dua negara, kata Duta Besar China ke Kemboja, Wang Wenbin, semasa pertemuannya dengan Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn, dan Menteri Dalam Negeri, Sar Sokha, bulan lalu.
“Insiden kebelakangan ini melibatkan warganegara China yang hilang atau lenyap di Kemboja telah menarik perhatian serius China,” menurut kenyataan Kementerian Luar China yang memetik kenyataan Wang.
“Kekerapan kes sedemikian bercanggah dengan persahabatan tradisional antara China dan Kemboja.”
Beberapa pegawai kanan Kemboja, termasuk Prak Sokhonn dan Timbalan Perdana Menteri Sun Chanthol, telah berikrar untuk meneruskan usaha memerangi industri penipuan itu.
“Penipuan dalam talian telah menjejaskan reputasi dan imej negara Kemboja, dan kami tidak akan berkompromi dalam usaha membasmi masalah ini,” kata Sun Chanthol bulan lalu.
Menurut laporan minggu lalu oleh Jawatankuasa Ad-Hoc Kemboja untuk Membanteras Penipuan Dalam Talian, seramai 5,106 suspek dari 23 negara telah ditahan atas kes penipuan dalam talian di Kemboja sepanjang tujuh bulan lalu.
Daripada jumlah itu, 4,534 individu telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.


