KEMENTERIAN Perladangan dan Komoditi (KPK) komited untuk terus memperkasakan industri biodiesel negara bagi memastikan kelestarian sektor tenaga dan jaminan bekalan komoditi negara terus terjamin.
Menurut kenyataan KPK, pihaknya mengambil maklum akan perbincangan awam serta pandangan pelbagai pihak, termasuk pimpinan kerajaan dan pakar industri, berhubung hala tuju pengeluaran dan penggunaan biodiesel di Malaysia.
“Kementerian menyambut baik wacana sihat ini yang mencerminkan komitmen bersama ke arah memastikan kelestarian sektor tenaga dan jaminan bekalan komoditi negara.
“Program Biodiesel Negara sedang dilaksanakan pada peringkat B10 (sektor pengangkutan darat) dan sedang diperluaskan secara berperingkat kepada B20, manakala sektor industri kekal menggunakan B7,” kata KPK dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Pelaksanaan ini menurut kementerian, disokong secara mampan oleh ketersediaan rantaian bekalan sedia ada yang melibatkan 19 loji pengeluaran biodiesel berlesen yang membekalkan Palm Methyl Ester (PME) kepada 34 depot pengadunan di seluruh negara.
Katanya, keupayaan loji pengeluaran biodiesel negara untuk menghasilkan biodiesel yang memenuhi standard kualiti antarabangsa mencerminkan tahap kesiapsiagaan industri, infrastruktur serta rantaian bekalan domestik.
Keadaan ini, bagi KPK, mengukuhkan keyakinan bahawa Malaysia bersedia untuk melaksanakan peralihan kepada adunan biodiesel B20 dan seterusnya B30 secara menyeluruh, selaras dengan aspirasi Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030 (DAKN 2030).
“Selain daripada menggunakan minyak sawit mentah (CPO) sebagai bahan mentah bagi penghasilan biodiesel, Kerajaan juga menggalakkan penggunaan bahan mentah generasi kedua seperti minyak keladak (sludge palm oil) dan minyak masak terpakai (UCO) bagi penghasilan biobahan api seperti Sustainable Aviation Fuel (SAF) dan Used Cooking Oil Methyl Ester (UCOME).
“Dalam konteks Malaysia, penghasilan biobahan api generasi kedua tertumpu kepada memenuhi pasaran eksport memandangkan permintaan antarabangsa yang tinggi terhadap bahan api rendah karbon serta keperluan pematuhan standard kemampanan global,” kata kementerian itu lagi.
Kementerian ini juga sedang memperhalusi dan menyemak semula Dasar Biobahan Api Negara selaras dengan hala tuju peralihan tenaga dan komitmen sifar bersih menjelang 2050.
Langkah strategik ini bertujuan memperkukuh jaminan keselamatan tenaga negara melalui pemanfaatan sumber biojisim dan ekonomi kitaran, sekaligus memastikan produk biobahan api Malaysia kekal kompetitif serta memenuhi piawaian kemampanan antarabangsa dalam mendepani cabaran perubahan iklim.
KPK juga akan terus memperkukuh kolaborasi strategik melalui sesi libat urus berterusan bersama semua pemegang taruh dan pemain industri. Langkah ini bagi memastikan setiap dasar yang digubal berpaksikan kepada analisa menyeluruh.
“Kementerian kekal komited menjadikan industri agrikomoditi dan biobahan api sebagai pemacu utama kelestarian ekonomi dan kemakmuran negara,” kata kenyataan itu.


