Kenyataan menghasut: Exco Terengganu didenda RM2,000

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2,000 ke atas pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Razali Idris kerana membuat kenyataan berbaur hasutan dalam ucapannya tiga tahun lalu.

Hakim Norma Ismail mensabitkan Razali atas kesalahan itu selepas memutuskan bahawa beliau gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dalam pembelaannya.

Beliau turut memerintahkan Razali menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal didakwa atas satu pertuduhan menghasut berhubung kenyataan yang dibuatnya semasa program PRK di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu, pada 10 November 2023.

Beliau didakwa mempersoalkan perbezaan layanan yang diterima oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan rasuah. Syed Saddiq pula disabitkan dengan kesalahan pecah amanah jenayah.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan itu tahun lalu.

Semasa mitigasi, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud memohon mahkamah hanya mengenakan denda ke atas Razali.

Beliau berkata video yang memaparkan Razali mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan itu telah dipadam tidak lama selepas dimuat naik di media sosial.

“Kenyataan tersebut tidak menyebabkan sebarang kesan ‘buruk’ kepada orang awam atau mana-mana pihak yang mendengarnya,” kata Awang Armadajaya.

Beliau juga berkata Razali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri akan hilang kelayakan sebagai ADUN sekiranya mahkamah mengenakan denda melebihi RM2,000 atau menjatuhkan hukuman penjara melebihi setahun.

Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atas Razali, dengan berkata denda adalah tidak memadai.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img