PEGUAM Negara Tan Sri Dusuki Mokhtar hari ini berkata keputusan untuk mengklasifikasikan kes Yayasan Akalbudi membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) adalah muktamad dan dibuat di bawah kuasa perlembagaannya.
Dusuki berkata kes itu telah diselesaikan “sekali dan untuk selamanya” selepas pihak pendakwaan meneliti enam representasi yang dikemukakan oleh pasukan pembelaan Presiden UMNO itu, selain mempertimbangkan semua isu fakta dan undang-undang yang berkaitan.

“Itu sahaja. NFA. Beliau tidak boleh didakwa lagi. Ia telah diselesaikan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pembukaan Tahun Perundangan 2026, lapor FMT
Minggu lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan keputusan NFA itu dibuat selepas meneliti skop dan fokus siasatan pada peringkat awal, yang berkait secara langsung dengan pertuduhan yang difailkan terhadap Zahid.
AGC turut mengambil kira penilaian dalaman oleh pihak pendakwaan berhubung kecukupan keterangan saksi serta kesesuaian untuk meneruskan pertuduhan.
Sebelum ini, Zahid telah diberikan pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) dalam kes Yayasan Akalbudi.


