Kerajaan Persekutuan akan laksanakan segera tuntutan 40% hasil Sabah – PM

KERAJAAN Persekutuan komited untuk menunaikan segera tuntutan 40 peratus hasil Sabah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau sendiri menyatakan pentadbirannya akan menghormati tuntutan itu ketika penjelasan di Parlimen dan perbincangan dalam Kabinet.

Beliau menegaskan, isu hasil Sabah tersebut bukan sekadar slogan politik seperti didakwa sesetengah pihak sebaliknya Kerajaan MADANI adalah yang pertama mengambil langkah konkrit untuk melaksanakannya.

“Saya sudah sebut di Jemaah Menteri dan umum di Parlimen, kerajaan persekutuan akan hormati komitmen dan akan laksanakan 40% itu segera,” katanya pada temu rapat di Dewan Kebudayaan Bajau Samah, Tuaran, lapor media.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

 Anwar membidas   ahli politik yang hanya membuat ‘bising dan marah setiap hari’ mengenai 40% hasil tanpa memahami proses dan perjanjian yang perlu dirujuk sebelum keputusan dimuktamadkan.

“Ini bukan RM20 juta. Ini bilion dan kita kena teliti perjanjian dan pastikan angka betul. Kalau negeri baik dengan kita, bincang baik-baik, kita selesaikan. Ini kerja ketua menteri (Hajiji) yang penting. Kerajaan negeri bawa kes, kita setuju,” katanya.

Pada Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengesahkan hak 40% Sabah ke atas hasil persekutuan yang diperoleh di negeri itu, seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah juga memutuskan semakan pasca 2021 yang dijalankan oleh kerajaan terhadap hak negeri itu adalah tidak sah, tidak rasional, tidak mengikut prosedur dan tidak seimbang.

Anwar turut membidas kritikan mendakwa kerajaan persekutuan tidak serius menunaikan tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang disifatkannya tidak berasas.

Beliau menegaskan banyak kemajuan dicapai dalam menunaikan tanggungjawab itu termasuk menyerahkan semula kuasa elektrik kepada Sabah yang tidak dilakukan kerajaan terdahulu.

Katanya, keputusan memulangkan Sabah Electricity kepada kerajaan negeri dibuat selepas rundingan jelas antara kedua-dua pihak, sebelum diluluskan melalui pindaan undang-undang di Parlimen.

“Ini kali pertama Sabah minta kuasa elektrik dipulangkan, dan kita setuju. SEB kini kembali kepada Sabah, bukan lagi kuasa persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, Putrajaya turut meluluskan tambahan RM1.2 bilion bagi membantu Sabah menyelesaikan masalah elektrik yang tertangguh sejak puluhan tahun, termasuk kawasan masih tidak mempunyai bekalan stabil.

Anwar juga mengingatkan pengundi menilai pemimpin berdasarkan rekod pentadbiran, bukan retorik perpecahan atau permainan sentimen.

“Politik bukan marah setiap hari dan kata orang lain semua tak betul. Kita jaga rakyat semua – Kadazan, Murut, Bugis, Cina, Muslim, Kristian itu tanggungjawab kerajaan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img