SEORANG bayi perempuan berusia 10 bulan parah selepas kereta dinaiki terbabas dan terbalik akibat tayar pecah di Kilometer 19, Jalan Kluang-Batu Pahat, hadapan kampus Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), pukul 2.40 awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah berkata, bayi perempuan itu kini dirawat di zon merah Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Shahrulanuar berkata, siasatan awal mendapati, kereta terbabit dipandu seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun, isterinya adalah penumpang iaitu wanita berusia 41 tahun.
“Kemalangan berlaku apabila tayar kereta mereka dinaiki pecah lalu terbabas dan terbalik. Lelaki terbabit cedera di tangan kiri manakala isterinya cedera di kepala dan kedua-duanya dirawat di zon kuning hospital sama,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu tular dua rakaman video kemalangan kedengaran suara seorang bayi menangis.
Beberapa pengguna jalan raya dilihat bergegas ke lokasi bagi membantu mangsa dengan kereta dalam keadaan remuk dan terbakar.


