Kes cemburu ada kekasih lain: Warga emas didakwa bunuh isteri

SEORANG lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tanah Merah, Kelantan hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya pada 1 Disember lalu.

Ibrahim Sulaiman, 63, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Sinar Harian.

Tertuduh yang tidak bekerja didakwa membunuh Mastura Abdullah, 40, pada 1 Disember antara jam 9.30 pagi hingga 12.15 tengah hari di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Paku, Gual Ipoh.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Irfan Aizat Daud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 12 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum itu, tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di mahkamah pada jam 8.30 pagi menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero sambil diiringi anggota polis.

Media sebelum ini melaporkan seorang isteri maut ditikam suaminya dipercayai menggunakan sebilah pisau di kediaman mereka di Kampung Paku, Gual Ipoh.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Mastura yang bekerja sebagai tukang masak di Selayang, Selangor, meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah pada bahagian belakang badan.

Suspek dikatakan menyerah diri di Balai Polis Gual Ipoh kira-kira jam 1 petang.

Pasangan tersebut telah mendirikan rumah tangga selama 14 tahun dan mempunyai dua orang anak berusia 10 dan 12 tahun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat sebelum ini dilaporkan berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek mengesyaki isterinya mempunyai kekasih sehingga sanggup bertindak sedemikian.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img