SEORANG pengusaha restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang doktor, penghujung tahun lalu.
Khor Wei Yeak, 32, didakwa melakukan perbuatan itu dengan sengaja ke atas L Avinash, 32, dengan melanggar menggunakan kereta di lorong ketiga Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Plaza Tol Perai di Seberang Perai Tengah pada jam 11.30 malam 28 Disember.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun menawarkan jaminan RM8,000, bagaimanapun peguam C Hari Prassaad Rao merayu jaminan minimum atas alasan anak guamnya mempunyai anak berusia setahun lima bulan dan hanya meraih keuntungan antara RM1,500 hingga RM2,000 daripada perniagaan makanan.
Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mac untuk serahan dokumen serta laporan perubatan.
Sebelum ini, polis mengesahkan penahanan seorang lelaki dan isterinya berusia 23 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes cubaan membunuh doktor itu dengan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut tular di media sosial.
Kedua-dua mereka sebelum itu dilaporkan bergaduh ketika melalui lorong RFID di mana kenderaan doktor terbabit `tersekat’ di laluan itu sebelum tertuduh mengundur dan melanggar mangsa dan keretanya sebelum melarikan diri.


