Kes Najib: Anwar minta jangan keruhkan keadaan sekalipun tidak simpati

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan, aekalipun ada pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya, adalah tidak wajar untuk mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif ketika ini.

Sehubungan itu Perdana Menteri menyeru semua pihak agar menangani isu ini dengan penuh sabar dan bijaksana.

Kenyataan Anwar itu dibuat ketika hubungan UMNO dengan DAP semakin tegang berikutan kenyataan Setiausaha Publisiti DAP Yeo Bee Yin melalui akaun media sosial menulis ‘“Another reason to celebrate this year end” – (Satu lagi sebab untuk diraikan pada penghujung tahun ini) sambil menyertakan keratan laporan portal Malaysiakini berhubung keputusan mahkamah menolak Najib menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.

Tindakan Bee Yin mencetuskan kemarahan UMNO sehinggakan beberapa pemimpin parti itu menyifatkan ia sebagai biadab dan melampau.

Dalam kenyataan beliau juga, Perdana Menteri menegaskan, Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa.

‘’Badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar. Atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Hakim,’’ katanya.

 Oleh itu kata beliau, atas prinsip kedaulatan undang-undang, semua pihak wajar menghormati keputusan yang telah dibuat oleh hakim, termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan, selain kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung titah adendum yang didakwa membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara beliau di bawahan tahanan rumah.

Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas mendapati titah berkenaan tidak dibincang atau diputuskan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Jan 2024.

Susulan keputusan itu, Najib perlu menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang.

Dalam penghakimannya, Loke memutuskan bahawa titah adendum itu tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah tidak sah.

“Responden tidak mempunyai kuasa dan tiada kewajipan untuk mematuhi atau menguatkuasakannya… sebaliknya, pemohon (Najib) tidak mempunyai hak untuk memperoleh perintah mandamus… oleh itu, semakan kehakiman ini ditolak dan saya tidak membuat sebarang perintah berkaitan kos,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img