KETUA angkatan tentera Libya bersama empat penumpang lain maut apabila jet perniagaan yang mereka naiki terhempas tidak lama selepas berlepas dari Ankara, menurut pegawai di ibu negara Turkiye dan Tripoli.
Bangkai pesawat jenis Falcon 50 itu ditemui oleh pasukan keselamatan Turkiye di daerah Haymana berhampiran Ankara, kata Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya.
Perdana Menteri Libya, Abdulhamid Dbeibah, berkata dalam satu hantaran di Facebook:
“Dengan penuh dukacita dan kesedihan mendalam, kami menerima berita pemergian Ketua Turus Angkatan Tentera Libya, Leftenan Jeneral Mohammed al-Haddad.”
Terdahulu pada Selasa, Haddad mengadakan perbincangan di Ankara dengan rakan sejawatannya dari Turkiye, Selçuk Bayraktaroglu, sebelum berlepas pulang ke Tripoli.
Yerlikaya memaklumkan di platform X bahawa pesawat Haddad berlepas dari Lapangan Terbang Esenboga, Ankara pada jam 5.10 petang GMT, dan “hubungan terputus” 42 minit kemudian.
Pesawat tersebut mengeluarkan isyarat kecemasan untuk mendarat berhampiran Haymana — kira-kira 74 kilometer dari Ankara — namun hubungan tidak dapat dipulihkan, katanya.
Menteri Kehakiman Turkiye, Yılmaz Tunc, berkata Pejabat Ketua Pendakwa Raya Ankara telah melancarkan siasatan berhubung kejadian itu.
Beberapa media Turkiye menyiarkan rakaman yang menunjukkan langit diterangi letupan tidak jauh dari lokasi terakhir isyarat pesawat diterima.
Menteri Negara Libya bagi Komunikasi dan Hal Ehwal Politik, Walid Ellafi, memberitahu saluran televisyen tempatan Libya al-Ahrar bahawa kerajaan Turkiye telah memaklumkan kejadian itu kepada pihaknya.
“Kami menerima panggilan daripada pihak berkuasa Turkiye sejurus selepas insiden berlaku, memaklumkan bahawa hubungan dengan pesawat telah terputus. Semua hubungan dengan pesawat terputus kira-kira setengah jam selepas berlepas dari lapangan terbang Ankara akibat masalah teknikal. Kami sedang menunggu hasil siasatan pihak Turkiye, dan jelas bahawa pesawat tersebut telah terhempas,’’katanya.
Ellafi berkata penumpang lain dalam pesawat itu ialah penasihat Haddad, Mohammed Al-Assawi, Mejar Jeneral Al-Fitouri Ghraibil, Mejar Jeneral Mohammed Jumaa, serta pengiring mereka, Mohammed Al-Mahjoub.
Haddad memegang jawatan Ketua Turus Angkatan Tentera Libya sejak Ogos 2020 dan dilantik oleh perdana menteri ketika itu, Fayez al-Sarraj.
Libya kini terbahagi antara kerajaan yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Tripoli yang dipimpin Dbeibah, dan pentadbiran di timur yang diketuai oleh komander Khalifa Haftar.
Negara Afrika Utara itu berpecah sejak kebangkitan rakyat yang disokong NATO menggulingkan pemimpin lama, Moammar Gadhafi, pada 2011.
Turkiye mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Tripoli yang disokong PBB, termasuk bantuan ekonomi dan ketenteraan, serta lawatan dua hala yang kerap.
Namun, Ankara kebelakangan ini turut mendekati pentadbiran saingan di timur, dengan ketua perisikan Turkiye, İbrahim Kalın, mengadakan pertemuan dengan Haftar di Benghazi pada Ogos lalu.


