KETUA Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar hari ini mendakwa, suaranya telah dirakam menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk disalahgunakan kononnya beliau menyokong kutipan dana.
Menurut beliau, rakaman video itu tersebar dalam aplikasi TikTok sejak semalam namun telah diturunkan pada hari yang sama.
Beliau turut menafikan sebarang penglibatannya termasuk memberi sokongan terhadap kutipan dana seperti yang tular dalam rakaman video itu.
“Itu adalah AI. Suara saya kononnya memberi sokongan kepada kutipan dana dan sebagainya.
“Benda ini memang saya tak ambil pusing kerana kalau kita dengar pun, kita tahu ia bukan suara sebenar.
“Sekarang ini macam-macam suara digunakan, bukan suara saya sahaja, suara ketua-ketua dan orang lain pun turut disalah guna,” katanya kepada media hari ini.
Sehubungan itu, Dzulkhairi meminta orang ramai agar menyemak kesahihan sesuatu berita bagi mengelak daripada terpedaya dengan sebarang kandungan palsu.
“Saya berharap masyarakat dapat menilai sama ada sesuatu perkara itu betul atau tidak sebelum mempercayainya,” katanya lagi.


