Klopp kata Salah bukanlah ‘mudah diurus’ tapi salah seorang legenda bola sepak

PERSELISIHAN terkini antara Slot dan Mohamed Salah telah menarik perhatian dunia bola sepak, dengan pemain itu digugurkan daripada skuad untuk perlawanan menentang Inter dan ditinggalkan berlatih bersendirian di England. Walaupun Liverpool meraih kemenangan Liga Juara-Juara di Itali, tumpuan tetap tertumpu kepada pengasingan pemain bintang tersebut.

Dalam dokumentari baharu BBC One, ‘Mo Salah – Never Give Up’, perjalanan pemain berusia 33 tahun itu menuju kemasyhuran dipaparkan dari sudut yang berbeza. Dalam filem itu, Jurgen Klopp mengakui bahawa mengurus Salah merupakan satu cabaran unik tetapi menegaskan bahawa pemain sayap tersebut akan dikenang sebagai salah seorang legenda bola sepak.

Klopp berkata: “Kita semua sangat dipengaruhi oleh masa lalu — bagaimana kita dibesarkan, di mana kita membesar. Mo sedar sejak awal (dalam hidupnya) bahawa dia perlu melakukan lebih daripada orang lain.

“Dia sentiasa berkembang. Dia tidak pernah berhenti. Itulah cara fikirannya. Selepas setiap cuti musim panas dia kembali dengan satu kemahiran baharu. Seolah-olah dia menghabiskan seluruh masa berlatih satu jenis hantaran sahaja.

“Kami saling mendorong, untuk memastikan kami tidak pernah berhenti. Dan kami memang tidak pernah berhenti. Detik mengangkat trofi Liga Perdana itu mengikat kami seumur hidup. Dia akan dikenang sebagai salah seorang yang terhebat sepanjang zaman.

“Saya tidak akan kata dia mudah diurus, tetapi dia juga bukan sukar diurus. Anda (hanya) akan ada masalah dengan Mo Salah jika dia tidak bermain atau anda mengeluarkannya.”

Kata-kata Klopp itu seolah-olah menjadi ramalan apabila Salah menyuarakan rasa tidak puas hatinya selepas digugurkan daripada kesebelasan utama Liverpool. Slot meletakkan pemain sayap itu di bangku simpanan selama tiga perlawanan berturut-turut, termasuk keputusan seri 3-3 menentang Leeds United baru-baru ini di mana Salah langsung tidak diturunkan.

Kekurangan minit permainan itu menyebabkan Salah menuduh kelab menjadikannya kambing hitam. Dia berkata:

“Saya rasa sangat jelas bahawa seseorang mahu saya dipersalahkan sepenuhnya.

“Saya telah banyak kali mengatakan bahawa saya mempunyai hubungan yang baik dengan pengurus, dan tiba-tiba kami langsung tiada hubungan. Saya tidak tahu kenapa tetapi pada pandangan saya, nampaknya ada seseorang yang tidak mahu saya berada di kelab.

“Nampaknya kelab telah mengorbankan saya. Itulah apa yang saya rasa. Saya rasa sangat jelas bahawa seseorang mahu saya dipersalahkan. Kelab ini, saya akan sentiasa menyokongnya. Anak-anak saya juga akan sentiasa menyokongnya. Saya sangat menyayangi kelab ini dan akan sentiasa begitu.

“Situasi ini tidak boleh diterima bagi saya, jujur. Saya tidak faham. Seolah-olah saya terus dijadikan mangsa. Saya tidak fikir saya masalahnya. Saya telah melakukan begitu banyak untuk kelab ini.

”Saya tidak perlu setiap hari berjuang untuk posisi saya kerana saya telah mendapatkannya. Saya bukan lebih besar daripada sesiapa tetapi saya telah memperoleh posisi itu. Ini bola sepak. Beginilah adanya.”

Memandangkan Salah dijangka berangkat menyertai AFCON bersama Mesir dalam beberapa hari lagi, masih belum pasti sama ada Slot akan membawa kembali pemain yang tidak berpuas hati itu ke dalam pasukan untuk perlawanan di laman sendiri menentang Brighton.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img