Konflik Asia Barat: Kerajaan usaha kekalkan harga petrol RON95

KERAJAAN akan berusaha mengekalkan harga petrol RON95 pada harga semasa RM1.99 seliter demi untuk rakyat Malaysia meskipun pasaran global menghadapi ketidaktentuan susulan situasi terkini konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, kenaikan harga minyak mentah global berikutan sekatan ke atas Selat Hormuz dijangka memberi kesan kepada negara, namun kerajaan bertekad untuk mempertahankan harga petrol RON95 bagi program Budi MADANI RON95 (BUDI95).

“Insya-Allah, untuk rakyat Malaysia saya akan cuba mempertahankan supaya tidak ada kenaikan harga minyak.

“Kita akan bertahan semaksimumnya tapi, wallahualam, (pasaran) ini tak terkawal, kalau keadaannya menjadi sehingga luar daripada kawalan kita, itu (jika berlaku kenaikan harga) tidak dapat kita pastikan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemimpin Masyarakat Tempatan di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya malam ini.

Pasaran global berhati-hati pada Ahad susulan tindakan ketenteraan AS ke atas Iran dan risiko geopolitik yang meningkat.

Situasi di Asia Barat telah mewujudkan sentimen mengelak risiko dan menjejaskan harga minyak mentah, ringgit serta aliran perdagangan.

Pada masa ini, minyak mentah WTI naik 2.78 peratus kepada US$67.02 setong manakala minyak mentah Brent meningkat 2.87 peratus kepada US$72.87 setong.

Firma risikan perniagaan dan penyelidikan tenaga, Rystad Energy menjangkakan harga minyak mentah Brent berpotensi melonjak sebanyak US$20 setong pada Isnin berikutan premium risiko yang diselaraskan semula melainkan terdapat petunjuk yang jelas mengenai ketegangan yang mereda pada hujung minggu susulan serangan tersebut.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img