KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan dua beradik wanita berusia 33 dan 23 tahun, selepas didapati melakukan pembelian berulang minyak petrol di sebuah stesen minyak di Tumpat, semalam.
Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, kedua-dua mereka ditahan pada jam 1.57 petang, hasil maklumat risikan pasukan penguat kuasa yang menjalankan Ops Gempur Barang Kawalan di sekitar Tumpat.
“Pasukan yang melihat keadaan itu telah bertindak mengekori sebuah kereta jenis Proton Wira Sedan menghala ke Kampung Jubakar Darat, Tumpat.
“Pemeriksaan lanjut menemukan lima tong disyaki berisi minyak petrol di dalam bonet kereta tersebut, serta sebuah tangki minyak yang dipercayai telah diubah suai bagi tujuan penyimpanan petrol dianggarkan 250 liter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Aswadi, pihaknya turut menyita kereta tersebut dan kedua-dua wanita yang ditahan itu kini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.


