PAKAR pendidikan Dr Anuar Ahmad berkata, Kementerian Pendidikan perlu memastikan dua persoalan yang berkaitan kemasukan kanak-kanak berumur 6 tahun ke Tahun Satu dijawab.
Katanya, dua persoalan itu ialah berkaitan cukup atau tidak, jumlah guru Tahun Satu 2027 dan kedua cukupkan bilangan bilik darjah.
Dr.Anuar membangkitkan perkara itu melalui Facebook, berikut catatan penuh beliau:
Rancangan untuk anak-anak berumur 6 tahun mula sekolah tahun satu diraikan oleh ramai ibu bapa. Ramai yang gembira. Tentulah ada yang tidak setuju. Tidak mengapa. Sebab itu, ibu bapa diberikan pilihan.
Pada masa yang sama, akan diadakan ujian saringan agar anak-anak yang benar-benar bersedia sahaja didaftarkan ke tahun satu. Bukan semua anak-anak enam tahun bersedia secara kognitif, psikomotor dan afektif untuk mula sekolah, walaupun ibu bapa mereka bersetuju.
Saya sebenarnya kurang bersetuju dengan konsep ujian saringan sebagai syarat masuk tahun satu untuk anak-anak umur 6 tahun kerana ia mempunyai kesan psikologi dan emosi yang negatif kepada anak-anak yang ditolak atau diberitahu bahawa mereka tidak berjaya untuk masuk ke tahun satu.
Bayangkan apa rasanya ‘ditolak kerana tidak layak’ yang akan dialami oleh anak-anak kecil ini. Belum pun mula bersekolah, mereka telah melalui pengalaman ‘ditolak’ oleh sistem pendidikan.
Pada ibu bapa yang setuju pula, mereka bimbang kepada dua perkara;
– Pertama, cukupkah jumlah guru tahun satu pada tahun 2027? Jika cukup, alhamdulillah.
– Kedua, cukupkah bilangan bilik darjah untuk menampung pertambahan murid-murid tahun satu pada 2027? Jika cukup, alhamdulillah.
Sebagai ibu bapa tentunya mereka mahu hari pertama bermulanya alam persekolahan anak-anak mereka berjalan lancar dan selesa. Itulah perasaan semua ibu bapa.
Pada ibu bapa, janganlah hari pertama anak-anak menjadi pengalaman yang pahit dengan keadaan kelas yang sesak dan guru yang ‘terkejar’ ke sana sini sebab tak cukup.
KPM sebaiknya berkongsi maklumat terperinci dan berkala dengan rakyat, apakah perancangan KPM untuk menguruskan dua kebimbangan ini?
Bersediakah KPM untuk uruskan? Apakah KPM perlukan masa yang lebih? Mungkin sebaiknya dimulakan pada 2028?
Kalau tak mampu sepenuhnya, maklumkan awal-awal. Ibu bapa boleh faham. Tapi kalau KPM yakin mampu, teruskanlah. Kita doakan semoga semuanya berjalan lancar.
Asalkan jangan dibiarkan dua persoalan ini tidak terjawab, saya bimbang semakin lama semakin merebak pula spekulasi yang tidak benar, dan itu semua hanya akan meningkatkan kebimbangan ibu bapa. Nanti KPM juga yang dipersalahkan.


