Wabak influeza mula ‘mengancam’ sekolah-sekolah apabila seramai 6,000 murid di seluruh negara telah dijangkiti wabak influenza setakat ini.
Ketika mengesahkan perkara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, berikutan itu beberapa sekolah telah diarahkan tutup sementara atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), antaranya sebuah sekolah di Johor.
“Setakat hujung minggu lalu, lebih kurang 6,000 murid dilaporkan dijangkiti influenza, namun ia tidak berlaku di satu kawasan sahaja, sebaliknya melibatkan sekolah-sekolah berbeza di beberapa negeri,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, dalam usaha untuk memastikan warga sekolah mengambil langkah pencegahan segera, Kementerian Pendidikan telah mengedarkan garis panduan pengurusan penyakit berjangkit kepada semua sekolah, institut pendidikan guru (IPG), kolej matrikulasi dan institusi vokasional.
“Kita sudah berikan panduan kepada sekolah agar menggalakkan pemakaian pelitup muka dan mengurangkan aktiviti berkumpulan buat sementara waktu. Sekolah juga diminta merujuk kepada pejabat kesihatan daerah (PKD) masing-masing jika berlaku peningkatan kes,” katanya.
Dr. Mohd Azam berkata, Kementerian akan sentiasa memastikan nasihat dan arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjadi panduan dalam menentukan tindakan lanjut termasuk penutupan jika perlu.
Pada sidang itu, beliau turut memberi jaminan bahawa KPM telah bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan pelaksanaan peperiksaan SPM yang dijadual bermula pada 3 November ini.
“Saya telah arahkan pegawai di Lembaga Peperiksaan supaya bersedia dengan cabaran ini. Kita sudah ada pengalaman mengendalikan peperiksaan semasa pandemik Covid-19, jadi kita tahu bagaimana menyesuaikan pelaksanaan peperiksaan jika keadaan memerlukan,” katanya.
Dr.Mohd Azam berkata, KPM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) khas untuk menguruskan calon yang sakit, termasuk membenarkan mereka menduduki peperiksaan di hospital atau lokasi alternatif dengan pemantauan rasmi.
KPM turut menasihatkan semua sekolah supaya lebih peka terhadap simptom influenza dalam kalangan murid dan guru, serta mengambil tindakan segera sekiranya terdapat tanda-tanda penularan.
“Sekiranya ada murid bergejala, pihak sekolah boleh benarkan mereka berehat atau mendapatkan rawatan. Tidak semua kes perlu dibawa kepada penutupan sekolah, ada yang cukup dengan cuti sakit individu,” katanya.


