POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan menjalankan siasatan menyeluruh serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang dikesan berkaitan kes tembakan di Durian Tunggal, Melaka baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pasukan itu akan menjalankan siasatan secara profesional dan berintegriti serta tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku.
“Masyarakat juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan integriti siasatan yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 3 Disember lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar telah menubuhkan pasukan siasatan khas yang diketuai oleh seorang pegawai kanan berpangkat Senior Asisten Komisioner bagi mengambil alih dan mengendalikan siasatan ini secara menyeluruh di peringkat Bukit Aman.
Langkah itu dibuat bagi memastikan setiap aspek siasatan diteliti secara teratur, profesional dan tanpa sebarang kompromi.
Pada Rabu lalu media melaporkan ahli keluarga tiga suspek berkenaan menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan.
Dalam kejadian pada 24 November lepas, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar memaklumkan tiga penjenayah berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Kejadian pada jam 4.30 pagi itu menyebabkan anggota polis berpangkat koperal, berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.
Sementara itu, Mohd Khalid dalam kenyataan yang sama berkata, pihaknya juga mengesahkan menerima sekeping cakera padat berkaitan kes tembakan itu.
“Polis telah menerima sekeping cakera padat (CD) pada Sabtu yang diserahkan oleh ahli keluarga kepada salah seorang suspek terlibat.
“Cakera padat itu dipercayai mengandungi rakaman audio perbualan telefon antara suspek dan isterinya sebelum kejadian,” katanya.
Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai berhubung insiden ini melalui talian hotline 019-376 4763 dan menghargai kerjasama masyarakat dalam usaha menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.


