KTMB sasar lebih 120,000 kanak-kanak, remaja sertai MyRailLife pada 2026

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjangkakan angka pendaftaran kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun bagi Pas Percuma MyRailLife bagi Komuter, Utara dan Intercity Shuttle Timuran (Gemas-Tumpat) yang jauh lebih besar pada 2026.

Daripada 120,000 orang yang diperoleh setakat ini, jangkaan itu berdasarkan pengurangan had umur pendaftarannya daripada murid tahun satu ke bayi baru lahir dan sehingga kepada pelajar tingkatan enam, kata Ketua Pegawai Operasi KTMB, Afzar Zakariya.

“Pas Percuma MyRailLife ini layak digunakan tanpa had sepanjang tahun untuk mereka warganegara Malaysia hanya dengan mendaftar diri menggunakan MyKad, MyKid dan sijil kelahiran serta perlu diperbaharui setiap tahun.

“KTMB juga bersempena kedatangan cuti penggal akhir persekolahan Disember ini, akan mempergiat kempen pendaftarannya bagi menambah angka penyertaan golongan kanak-kanak dan remaja dalam MyRailLife.

“Jadi ibu bapa dan keluarga mereka tidak perlu lagi risau dengan tambang perkhidmatan ini yang bebannya telah dikurangkan,” katanya selepas majlis perasmian Kejohanan Bola Sepak Piala KTM Komuter 2025 (Edisi Selatan) di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Seremban, semalam.

Turut hadir memeriahkannya dengan gimik sepak mula dan sesi beramah mesra dengan para peserta kejohanan dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) ialah tiga legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh, Nizarudin Yusof dan Kamarul  Zaman Yussoff.

ANTARA aksi dua pasukan Piala KTM Komuter 2025 di Padang MBS, Seremban yang membabitkan kalangan pemain berumur enam, lapan, 10 dan 12 tahun.

Sebanyak 43 pasukan daripada kalangan 552 pemain berumur enam, lapan, 10 dan 12 tahun menyertainya yang menurut Afzar, hampir melebihi kuota itu sekiranya tidak ditolak memandangkan khuatir mampu melewatkan tempoh pertandingan.

“Sambutan kepada Piala KTM Komuter 2025 amat menggalakkan, ada 43 pasukan edisi ini malah kami terima lebih penyertaan tetapi terpaksa tolak sebab sudah cukup kuota dan akan berlaku kelewatan penganjuran.

“Padang MBS ini lebih bersedia bagi penganjurannya dengan segala kemudahan akses orang ramai, parkir dan selesa serta dalam keadaan cuaca baik. Pada 2024, kami buat di Alor Setar, 2023 dan 2022 di Shah Alam,” katanya.

Kata Afzar, bola sepak dipilih kerana sukan ini paling gemar disertai oleh kanak-kanak dan remaja yang menjadi golongan sasaran MyRailLife dengan KTMB mendapat sokongan rakan strategik seperti Kelab Bola Sepak Seremban 2 (S2FC).

“KTMB membantu mencetuskan semangat dan hasrat golongan sasaran menerusi Piala KTM Komuter untuk terus bergiat dalam sukan bola sepak manakala S2FC memantau dan mengenal pasti para pemainnya untuk dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi seperti ke akademi bola sepak misalnya,” katanya.

Sementara itu dalam siaran media, Ketua Pegawai Teknikal (Menanggung Tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB), Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, penganjuran Piala KTM Komuter mencerminkan peranan KTMB sebagai penghubung kehidupan rakyat.

“Setiap hari, perkhidmatan KTM Komuter menjadi nadi pengangkutan yang menghubungkan penduduk Negeri Sembilan dengan Lembah Klang serta negeri-negeri lain. Melalui kejohanan ini, kami ingin menzahirkan hubungan erat itu,” katanya.

Beliau menambah, kejohanan ini bukan sekadar platform untuk mencungkil bakat muda bola sepak malah menjadi wahana KTMB memperkukuh nilai kekeluargaan, semangat berpasukan dan gaya hidup sihat masyarakat.

Piala KTM Komuter 2025 yang berjaya menarik lebih 2,000 pengunjung katanya turut mampu menyemarakkan budaya hidup sihat dan menyantuni masyarakat serta memperkukuh jenama KTMB sebagai penghubung kehidupan rakyat Malaysia.

KTMB ialah pengendali perkhidmatan pengangkutan rel negara (penumpang dan kargo barangan) di sepanjang 1,655 kilometer rangkaian landasan dengan 84 stesen dan 68 perhentian di seluruh Semenanjung Malaysia.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img