Lelaki guna wang palsu cuba beli emas dicari

POLIS sedang mengesan seorang lelaki yang dikatakan cuba membeli barangan kemas bernilai RM30,000 dengan menggunakan wang palsu di sebuah kedai emas di Chabang Tiga, Kuala Terengganu semalam.

Suspek yang berusia lingkungan 30-an datang bersendirian ke kedai itu kira-kira jam 3.10 petang dengan memakai kopiah putih, bercermin mata hitam dan pelitup muka merah jambu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, suspek meminta seorang jurujual berusia 36 tahun untuk menunjukkan beberapa gelang emas dan mengambil gambar atas alasan untuk ditunjukkan kepada isterinya.

Katanya, suspek kemudian menyatakan hasrat hendak membeli barangan kemas itu selepas dua kali dilihat keluar masuk kedai.

“Jurujual meminta suspek menyerahkan wang untuk dikira dan lelaki itu menyerahkan duit diikat bentuk bungkusan di dalam beg plastik kuning,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli memberitahu, jurujual itu mula berasa curiga kerana bahagian tepi wang itu berwarna putih dan cuba memeriksa wang tersebut sehingga berlaku insiden tarik-menarik dengan suspek.

Beliau berkata, suspek yang menyedari taktik penipuannya itu terbongkar segera melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Perodua Axia biru gelap yang diletakkan di hadapan kedai.

“Semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan itu palsu. Polis sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis terlibat serta kedai berhampiran untuk siasatan lanjut,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan iaitu menggunakan wang palsu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img