Lelaki kurang upaya cacat mental rentung dalam kebakaran rumah

SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) mental ditemukan maut dalam kebakaran rumah dihuninya bersama ibu di Kampung Mujur, Jelawat di Bachok, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mayat Che Mohamad Faizul Che Sulaiman, 41, ditemukan rentung di dalam bilik tidurnya selepas dipercayai membakar rumahnya akibat masalah mental.

Ibu lelaki terbabit, Rohani Mohamed, 66, berkata, sebelum kejadian anak keduanya itu mengamuk dan mengugut untuk menamatkan riwayatnya dengan menggunakan pisau namun berjaya dihalang ahli keluarga.

Katanya, tidak lama selepas itu, anaknya yang menghidap masalah mental sejak berusia 10 tahun, mengurung diri di dalam bilik tidurnya sebelum dikejutkan dengan api marak daripada dalam bilik berkenaan dan merebak ke seluruh rumah.

“Anak lain menjerit ‘ma (ibu)… api’, saya jerit tendang pintu tu (bilik mangsa), rupanya dia bakar kain selimut, dia ada pemetik api sebab hisap rokok, anak-anak lain tendang pintu yang berkunci, heret dia keluar.

“Tapi dia masuk balik (ke dalam bilik yang terbakar), masa api tengah marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Mujur, Jelawat hari ini lapor Harian Metro.

Rohani berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah itu bersama empat anaknya, termasuk mangsa.

Katanya, tiga lagi anak adalah Che Mohamad Firdaus, 39; Che Nor Ezzah, 38, dan Che Mohamad Hafiz, 28, terpaksa lari sehelai sepinggang selepas api marak.

“Sebelum ini, walaupun dia ada sakit mental, anak tidak pernah mengamuk atau menyusahkan keluarga, malah dia turut menyara keluarga dengan berniaga atas talian,” katanya yang memaklumkan kejadian itu bukan sahaja mengorbankan anaknya, malah memusnahkan rumah mereka, dua kereta dan tiga motosikal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan kejadian dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Khairul Ariffin Che Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 9.15 pagi.

“Kebakaran berjaya dikawal jam 9.38 pagi dan mangsa dijumpai jam 9.43 pagi, kebakaran berjaya dipadamkan dalam tempoh kurang satu jam,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img