SEORANG lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori menemui ajal apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lain di Jalan Pulau Sebang berhampiran Taman Mahsuri, Alor Gajah, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 malam itu, mangsa berusia 45 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal Honda C100 dari arah Tampin menghala ke A Famosa Resort.
Beliau berkata, sebuah lagi motosikal jenis Honda Vario ditunggang lelaki berusia 31 tahun dari arah kilang Honda menghala ke Tampin.
“Siasatan awal dilakukan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang maut dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebaik sahaja tiba di tempat kejadian.
“Motosikalnya dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Honda Vario ditunggang pekerja kilang itu,” katanya.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu penunggang Honda C100 itu parah di bahagian kepala dan disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan manakala seorang lagi penunggang cedera.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kita minta saksi bebas tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-2543 5507,” katanya.


