SEORANG lelaki maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam ikan miliknya ketika menjala ikan di Batu 20, Kampung Sungai Nangka Jelai di Batu Kurau, Ipoh, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa berusia lingkungan 40-an dan bomba menerima panggilan pada pukul 8.02 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Kurau digerakkan ke lokasi.
Beliau berkata, anggota bomba tiba di tempat kejadian 16 minit kemudian dan mendapati mangsa terbaring di tebing kolam dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Selepas pasukan perubatan Kementerian Kesihatan tiba, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Menurutnya, operasi bomba tamat pada pukul 9.38 malam.


