SEORANG penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail tengah hari, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mangsa merupakan seorang lelaki berbangsa India berusia 35.
Katanya, panggilan kecemasan diterima kira-kira pukul 12.03 tengah hari membabitkan satu kemalangan di Jalan Kapar, Batu 5, Klang.
“Sepasukan enam anggota bersama satu jentera dikerah ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan terdapat kemalangan antara sebuah SUV dan sebuah Kawasaki Ninja 250,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, terdapat satu mangsa tersepit serta tidak sedarkan diri telah berjaya dikeluarkan.
“Komander operasi melaporkan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.


