SEORANG lelaki bertindak ganas dengan melibaskan senjata ke arah anggota polis serta kenderaan peronda polis (MPV) dalam kejadian amuk di sebuah restoran makanan laut di Telok Mengkuang, Kuala Langat, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu turut menyaksikan suspek memecahkan pelbagai barangan restoran dan merosakkan tiga kenderaan milik orang awam sebelum berjaya diberkas polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada anggota MPV Sektor 4 Telok Panglima Garang sebelum sepasukan polis digerakkan ke lokasi.
Menurut beliau, sebaik tiba di tempat kejadian, polis mendapati seorang lelaki tempatan sedang bertindak agresif dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging dan sebatang rotan.
“Siasatan awal mendapati suspek telah memecahkan pelbagai barangan di sebuah restoran makanan laut di Jalan Pandan 2, Telok Mengkuang.
“Suspek turut merosakkan tiga kenderaan milik orang awam di sekitar kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudian bertindak lebih agresif apabila melibaskan senjata ke arah anggota polis dan kenderaan MPV sehingga mengancam keselamatan pihak berkuasa serta orang awam.
Bagaimanapun, katanya, tindakan pantas anggota polis di lokasi berjaya menahan suspek tanpa sebarang kecederaan serius dilaporkan.
“Suspek kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi pemeriksaan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 353 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman memaparkan seorang lelaki mengejar serta mengacu senjata dipercayai pisau ke arah anggota polis di sebuah restoran.


