Lelaki patahkan cermin sisi kereta ditahan polis

TINDAKAN seorang lelaki mematahkan cermin sisi sebuah kereta dipercayai akibat berang laluan parkir dihalang mengundang padah apabila dia diberkas polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, tangkapan dibuat susulan video kejadian itu yang tular dalam media sosial.

Beliau berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 8.40 malam Isnin.

“Laporan dibuat berkaitan satu rakaman video yang dimuat naik di laman sosial TikTok oleh pemilik akaun yang memaparkan seorang individu mematahkan cermin sisi sebuah kereta.

“Kejadian dipercayai berlaku di sekitar kawasan Cheras, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosdi berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menjalankan operasi bagi mengesan suspek.

“Hasil operasi, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia lewat 30-an di sekitar kawasan Cheras pada jam 12.28 tengah malam tadi.

“Suspek dipercayai individu yang terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya.

Mohd Rosdi berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku akibat suspek berang selepas laluan keluar parkirnya dihalang oleh sebuah kenderaan jenis Perodua Alza.

Menurutnya, suspek kemudian bertindak mematahkan cermin sisi kenderaan berkenaan.

“Suspek telah dibawa ke mahkamah bagi tujuan permohonan reman.

“Mahkamah membenarkan reman selama tiga hari bermula 11 Mac sehingga 13 Mac bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang individu bertindak mematahkan cermin sisi sebuah kenderaan dipercayai di ibu negara.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img