Masa untuk ATM bangkit ‘satu tubuh, satu suara dan satu tekad’

Oleh Penulis Khas

PEMILIHAN  Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu akhirnya menoktahkan pelbagai spekulasi dan tanda tanya yang berlegar dalam kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada 31 Januari lalu, Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu berkuat kuasa 1 Februari.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan Malek Razak dinaikkan ke pangkat daripada Leftenan Jeneral ke Jeneral seterusnya dilantik sebagai PAT.

Bersama pengumuman ini hadir satu rasa lega bukan hanya kerana kekosongan telah diisi tetapi kerana tampuk kepimpinan kini berada di tangan seorang pemimpin yang terbukti berpengalaman, berintegriti dan berteraskan nilai ketakwaan.

Benar, ada suara yang mempersoalkan “kekurangan” beliau kerana tidak pernah menjawat jawatan Ketua Perkhidmatan. Namun sejarah ketenteraan dunia berulang kali membuktikan bahawa kepimpinan sejati tidak semata-mata ditentukan oleh laluan kerjaya yang konvensional tetapi oleh kekuatan karakter, kejelasan moral dan keupayaan menyatukan pasukan dalam waktu mencabar.

Pangkat boleh memberi autoriti tetapi integriti melahirkan kepercayaan dan kepercayaan itulah mata wang paling berharga dalam sebuah angkatan bersenjata.

Sesungguhnya, seorang pemimpin yang ikhlas tidak memimpin untuk dirinya tetapi untuk amanah yang lebih besar iaitu agama, bangsa dan tanah air. Ketakwaan menjadi kompas, integriti menjadi benteng, manakala keikhlasan menjadi api yang menyalakan arah perjuangan.

Dalam era di mana persepsi mudah menggugat reputasi institusi, ATM tidak hanya memerlukan pemimpin yang bijak merancang strategi, tetapi juga pemimpin yang mampu memulihkan keyakinan dan menegakkan maruah angkatan.

Justeru, saat ini bukan masa untuk warga ATM berbisik dalam keraguan atau terperangkap dalam perbandingan. Ini adalah masa untuk bangkit sebagai satu tubuh, satu suara dan satu tekad. Prinsip esprit de corps bukan sekadar slogan warisan ketenteraan. Ia adalah roh yang menjadikan sekumpulan individu sebagai satu kekuatan yang tidak mudah dipatahkan.

Ketaatsetiaan kepada kepimpinan bukan bermaksud menutup ruang profesionalisme atau menafikan pandangan strategik. Sebaliknya, ia menuntut kematangan keupayaan untuk meletakkan kepentingan organisasi mengatasi kecenderungan peribadi. Tentera yang kuat bukan kerana tiada perbezaan tetapi kerana semua perbezaan akhirnya tunduk kepada misi yang sama.

Warga ATM harus ingat bahawa pemimpin boleh datang dan pergi tetapi perjuangan mempertahankan kedaulatan negara tidak pernah berhenti. Dari belantara hingga ke lautan, dari landasan udara hingga ke sempadan yang sunyi setiap langkah anggota adalah sambungan kepada legasi panjang keberanian yang telah dibina hampir satu abad.

Inilah detik untuk memperbaharui sumpah setia. Berdirilah teguh di belakang kepimpinan baharu dengan keyakinan bukan keraguan. Kukuhkan saf, rapatkan barisan dan hidupkan kembali semangat persaudaraan tentera yang tidak mengenal pangkat mahupun latar kerana pada akhirnya, kekuatan sebenar ATM bukan hanya terletak pada aset atau persenjataan tetapi pada hati warganya.

Apabila kepimpinan diperkukuh dengan integriti dan ketaatan disatukan dengan kehormatan tiada badai yang mampu menggoyahkan angkatan ini.

Kini, halaman baharu telah dibuka. Masanya untuk ATM melangkah ke hadapan sebagai satu keluarga, satu angkatan, dan satu maruah.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img