
KERAJAAN akan melaksanakan peperiksaan Ujian Darjah Empat mulai tahun ini melibatkan empat mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga bagi lima mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah pula bermula pada 2027.
“Kedua-dua pengukuran ini akan dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) secara berpusat. Nama lain bagi pengukuran ini adalah Matriks Pembelajaran Malaysia,” katanya
“Pendekatan ini bertujuan memastikan tahap penguasaan murid dapat dikenal pasti lebih awal seterusnya membolehkan intervensi dibuat secara lebih tersasar bagi meningkatkan kualiti pendidikan,” katanya pada majlis peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 di Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau memahami kegelisahan ramai pihak berhubung perkara itu , namun mengetahui bahawa Kementerian Pendidikan adalah kementerian yang cekap dan memikirkan mengenai masa depan.
“Maknanya kita buat penilaian dan kita tahu dua tahun, Darjah Lima, Darjah Enam itu kita akan perbaiki dan letakkan anak-anak supaya berikan ruang mereka perbaiki dalam dua tahun sebelum masuk ke Tingkatan Satu,’’ katanya.


