POLIS mengesahkan mayat lelaki mangsa lemas di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma di ibu negara Isnin lalu berjaya ditemukan kira-kira 65 kilometer (km) dari lokasi asal kejadian iaitu di sekitar Sungai Kandis, Selangor pagi ini.
Identiti mangsa, K Suresh, dikenal pasti berdasarkan cacahan tatu namanya pada tangan kanan lelaki berusia 37 tahun itu dan pengecaman oleh ahli keluarga.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, mangsa sudah lima hari dihanyutkan arus menyebabkan keadaan mayat sudah mulai membusuk namun keadaan tubuh badan masih lengkap hanya baju terkoyak dan kasut tertanggal.
“Mayat hanyut dalam keadaan arus deras dan pada jam 10.30 pagi, pasukan kelapan terjumpa satu mayat terapung di kawasan perangkap sampah sungai di Kampung Sungai Kandis, Shah Alam di Selangor,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di ibu negara petang ini, lapor Harian Metro.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam dan proses bedah siasat akan dijalankan secepat mungkin supaya boleh dituntut segera oleh waris.
Sazalee berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari kelima itu membabitkan 200 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk menggunakan unit dron dan anjing pengesan (K9).
“Kawasan pencarian kita dibahagikan mengikut peringkat; hari pertama sejauh 22km, hari kedua sejauh 26km, semalam dan hari ini kita luaskan sehingga 36km.
“Mayat sudah hanyut jauh, cuma tersangkut pada perangkap sampah di Kampung Sungai Kandis, kalau tidak tersangkut, mungkin ia sudah hanyut sampai ke Pelabuhan Klang atau ke laut,” katanya.
Mengulas mengenai kesukaran operasi, beliau berkata pasukan penyelamat mengalami kesukaran dalam operasi SAR terutama dalam keadaan arus sungai yang terlalu deras.
“Sepanjang tempoh pencarian, kita menghadapi kesukaran dari sudut kedudukan geografi sungai, arus terlalu deras serta tebing sungai yang berumput panjang, dan jarak yang terlalu luas.
“Disebabkan itu, seperti yang saya cakap, mangsa dalam skala arus yang terlalu deras, jadi kita jangkakan dalam beberapa jam mangsa boleh dihanyutkan dengan jauh.
“Alhamdulillah, sehingga selesai petang tadi, semua petugas selamat dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini, cuma ada insiden bot terbalik semalam, Sungai Klang ini nampak tenang tetapi airnya deras sebenarnya,” katanya.


