SEORANG pekerja warga Indonesia yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari kapal di perairan berhampiran Pelabuhan Pulau Pinang, petang semalam ditemukan mati lemas hari ini.
Mayat lelaki berusia 46 tahun itu ditemukan di Pulau Keramat, Tanjung Bungah kira-kira jam 2.54 petang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal dihubungi bagi membantu untuk mengangkat mayat terbabit.
“Mayat lelaki berkenaan kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Media sebelum ini melaporkan seorang pekerja kapal dipercayai terjatuh ketika bekerja di atas kapal berkenaan.
Mangsa yang dikenali sebagai Abdul Khodir dilaporkan hilang antara jam 10 malam hingga 2 pagi pada Jumaat dan satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara pada jam 3.55 petang Sabtu.


