POLIS menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang wanita warga asing dengan kesan jerutan di leher di kawasan kebun pisang di Banting, Kuala Langat, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an dan 50-an merupakan warga Indonesia dan bekerja sebagai tukang kebun.
Beliau berkata, polis sebelum itu menerima makluman daripada orang awam mengenai penemuan mayat wanita berusia lingkungan 30-an kira-kira jam 11.07 pagi.
“Bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dan pemeriksaan di tempat kejadian menemukan mayat seorang wanita warganegara Indonesia.
“Siasatan awal mendapati terdapat kesan jerutan pada bahagian leher mangsa, sekali gus menimbulkan syak bahawa berlaku unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, risikan lanjut pihak polis membawa kepada penangkapan kedua-dua suspek bagi membantu siasatan.
Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, katanya.


