MCMC tingkatkan penilaian keselamatan semua premis Nadi di Johor susulan kejadian jenayah

SURUHANJAYA Komunikasi dan Mulitimedia Malaysia (MCMC) akan memastikan semua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) khususnya di Johor melaksanakan penilaian keselamatan berikutan beberapa kes pecah masuk dan kecurian yang berlaku, tahun lalu.

Langkah itu merangkumi penambahbaikan kawalan akses, pengukuhan pemantauan fizikal serta pelaksanaan program kesedaran keselamatan yang lebih bersasar pada peringkat komuniti.

Menurut kenyataan dikeluarkan MCMC, inisiatif berkenaan bertujuan mengurangkan risiko kejadian berulang, meningkatkan kesiapsiagaan petugas serta memperkukuh peranan komuniti setempat dalam usaha pencegahan jenayah.

Kata kenyataan suruhanjaya itu, sepanjang tempoh September hingga Disember 2025, sebanyak 13 kes pecah masuk melibatkan Nadi direkodkan di Johor, mengakibatkan kehilangan wang tunai serta kerosakan aset.

“Kejadian jenayah curi dan pecah masuk itu bukan sahaja menjejaskan keselamatan fasiliti awam malah turut memberi kesan kepada kelangsungan operasi harian Nadi serta penyampaian perkhidmatan kepada komuniti setempat.

“MCMC turut merakamkan penghargaan kepada polis, khususnya Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Kontinjen Johor serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian atas tindakan pantas menahan suspek,” kata kenyataan MCMC yang dikeluarkan hari ini.

Pada 30 Disember lalu, media melaporkan IPD Pontian menahan seorang pemandu lori ais yang menjadi dalang kepada 16 kes pecah masuk premis termasuk Nadi dan pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang (Peladang) di enam daerah sejak Jun lalu.

Menurut kenyataan MCMC itu, penahanan suspek ini merupakan hasil penyelarasan operasi dan perkongsian maklumat yang berkesan antara Polis Johor, khususnya JPJKK Johor dan IPD Pontian, bersama MCMC dan pengurusan Nadi.

“Tindakan bersepadu ini membolehkan siasatan dijalankan dengan pantas serta mengenal pasti pola kejadian pecah masuk yang berlaku secara berulang di beberapa lokasi Nadi di Johor, sekali gus mengekang risiko berterusan terhadap keselamatan fasiliti awam dan operasi perkhidmatan komuniti,” kata kenyataan itu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img