SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan ‘satu tindakan’ dan berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bersetuju permohonan membatalkan pasport Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang merupakan menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Muhammad Adln yang disiasat dalam kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing dipercayai berada di sebuah negara Timur Tengah.
Tanpa mendedahkan nama berkenaan, Azam berkata, negara itu tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.
“Usaha mengesan beliau (Adlan) masih dijalankan dan kita (SPRM) sudah membuat satu tindakan semalam dan berharap Kementerian Dalam Negeri akan bersetuju permohonan membatalkan pasportnya.
“Kita juga masih berbincang dengan negara terbabit bagaimana cara untuk membawanya pulang semula ke negara ini,” katanya kepada wartawan selepas Majlis Perasmian dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara SPRM dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di Petaling Jaya.
Selain itu Muhammad Adlan, SPRM juga sedang mengesan peguam, Mansoor Saat dengan kedua-duanya dikenal pasti sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.
Pada Oktober 2023, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Razarudin Husain dilapor mengesahkan permohonan notis merah ke atas Muhammad Adlan dan Mansoor sudah diserahkan kepada Polis Antarabangsa (Interpol).


