Meneruskan inisiatif kerjasama demi keamanan dan kemakmuran wilayah sempadan Malaysia-Thailand

BARU-baru ini saya berkesempatan berkunjung sekali lagi ke Selatan Thailand khususnya Pattani dalam usaha meneruskan kerjasama dengan Pusat Pentadbiran Sempadan Wilayah Selatan (PBAC), Thailand serta Persatuan Media Selatan Thailand.

Usaha ini  adalah sebahagian gerak kerja Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah serta IGROW bagi merintis kerjasama negeri berjiran, Perak dan Selatan Thailand dalam bidang sekuriti makanan, pendidikan, pelancongan dan perdagangan dua hala.

Sejarah kerjasama ini tercetus pada tahun 2017 apabila SPBAC dan media Thailand berkunjung ke Perak bagi merintis usaha dalam bidang perkongsian budaya, pendidikan dan sosio-ekonomi yang boleh dilakukan kedua-dua belah pihak khususnya IGROW.

Ketika itu SPBAC  diketuai Setiausaha Agungnya Supanat Sirantawinetti. Lebih menarik, musim buah durian di Kampung Gajah pada masa itu telah menggamit minat mereka memandangkan Thailand turut terkenal dengan buah durian komersial.

Bermula dengan  lawatan biasa, SPBAC mengatur langkah menjalinkan hubungan dengan Kerajaan Negeri Perak.

Bagaimanapun berikutan situasi politik tidak menentu di kedua-dua belah pihak dan diikuti pula dengan serangan Covid-19, kerjasama yang dirancang tergendala. Namun kami masih berhubung atas dasar muhibah dan semangat berjiran.

Pada tahun ini, mengambil semangat kerjasama yang sudah terjalin serta Malaysia menjadi pengerusi ASEAN,kami bertekad untuk merealisasikan usaha-usaha yang tertangguh. Kebetulan juga, kali ini musim durian di IGROW dan Kampung Gajah dijangka begitu lebat dan panjang, maka saya telah menjemput mereka ke Kampung Gajah sekali lagi.

Pada Khamis lalu hingga semalam (27 September), saya membawa rombongan Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah, IGROW dan wakil Persatuan Media Perak ke Pattani untuk membincangkan kerjasama dalam bidang yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Barisan wartawan Persatuan Media Selatan Thailand yang mengadakan sesi perbincangan usaha pertukaran bahan media kedua-dua negara.

Saya begitu terharu apabila mereka menyambut kami penuh mesra dan menaruh harapan agar segala usaha yang dirancang selama ini menjadi kenyataan.

Jadual saya diatur oleh pihak Thailand. Sebaik sahaja tiba di Betong, sekumpulan media daripada Persatuan Media Selatan Thai telah menunggu saya dengan diketuai oleh Timbalan Pengerusinya, Danial Meringgin. Turut serta ialah Pengerusi Persatuan Pelancongan Betong, Narin Ruengwongsa.

Hari kedua pula, kami mengadakan lawatan dan mesyuarat bersama. Seawal jam 8.30 pagi, kami sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Betong untuk meninjau bagaimana lapangan terbang itu boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dari segi kemasukan pelancong.

Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 akan melonjakkan pasaran buah durian daerah kecil tersebut di persada antarabangsa.

Selanjutnya diikuti pula lawatan untuk melihat pembangunan  dusun durian di Betong. Ia disusuli rapat selepas tengahari, kami menjadi tetamu utama Pesta IKS Selatan Thailand di Pattani, hinggalah mesyuarat bersama pelbagai agensi pada sebelah malam yang dipengerusikan oleh Gabenor Wilayah Pattani Pateemoh Sadeeyamu.

Pada mulanya saya berhasrat untuk menumpukan kepada tiga perkara utama sahaja iaitu pendidikan, pelancongan dan pertukaran bahan media yang mempromosikan kedua-dua pihak.

Memandangkan saya mempunyai pengalaman dalam membangunkan golongan miskin tegar di Malaysia, agenda berkongsi kepakaran dalam hal tersebut turut menjadi topik utama. Membasmi kemiskinan adalah keutamaan Pateemoh.

Perbincangan pelbagai perkara selama hampir dua jam itu mencapai keazaman bersama untuk melaksanakan bidang -bidang berikut :

  1. Penubuhansebuah pusat pemasaran produk halal IKS Malaysia dan Selatan Thai yang pertama di Pattani melalui inisiatif bersama IGROW.
  2. Membangunkan industri durian sebagai industri bersama sebagai raja buah jenama ASEAN.
  3. Bertukar segmen pelancongan untuk merancakkan pelancongan kedua-dua belah pihak.
  4. Latihan kemahiran TVET untuk belia.
  5. Berkongsi kepakaran dalam menjayakan misi membasmi kemiskinan.
  6. Perkongsian bahan media dalam mempromosikan kegiatan wilayah bersempadan.

 Memandangkan Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah dan IGROW akan menganjurkan Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah Tahun 2025 bermula pada awal Oktober hingga November ini, Pateemoh telah menyatakan hasrat untuk membawa rombongannya melawat Kampung Gajah, sempena festival itu.

Rumusan yang sangat menarik juga adalah  apabila saya mengilhamkan gagasan ‘Inisiatif Keamanan dan Kemakmuran Wilayah Kejiranan Bersempadan, Malaysia-Thailand’ yang dianggap oleh Pateemoh sangat tepat dan tiba masanya.

*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosio-ekonomi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img