PADAH menunggang motosikal bertiga. Dua remaja maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok di Jalan Taman Musytari, Batu Kikir, Jempol petang semalam.
Kejadian pada jam 5.55 petang itu menyebabkan penunggang dan pembonceng tengah masing-masing berusia 13 dan 10 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala serta tangan.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, seorang lagi pembonceng berusia 13 tahun kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah akibat cedera di kepala dan patah kedua-dua kaki.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika ketiga-tiga pelajar perempuan itu menaiki sebuah motosikal jenis Honda C100 dari arah Taman Mawar ke Taman Musytari.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, penunggang dipercayai gagal mengawal motosikal itu lalu terbabas ke bahu jalan kanan dan melanggar sebatang pokok,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Norhisham berkata, mayat dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat dan kes ini disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta saksi kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Fasha Haiqal Mohd Faisal menerusi talian 016-362 7746 bagi membantu siasatan.


