KISAHNYA bermula apabila seramai 120 ketua bahagian dikatakan membuat akuan bersumpah meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan peralihan kuasa lebih awal sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan ia diserahkan secara terus kepada Presiden Bersatu itu tanpa perantaraan.
Bagaimanapun ia tersebar kepada pengetahuan umum sehingga wujudnya surat layang yang menuduh Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin mendalangi ‘gerakan rampasan kuasa’ dalam Bersatu?
Sebenarnya tidak sesuai ayat ‘guling’ digunakan bagi menggambarkan tindakan ketua-ketua bahagian tersebut kerana mereka melakukan secara terhormat dan diam-diam. Kalau mereka betul-betul mahu ‘menggulingkan’ Muhyiddin, mereka akan buat sidang media dan umumkan sudah hilang kepercayaan kepada Presiden Bersatu itu.
Kalau itu berlaku kesannya akan lebih parah lagi dan Muhyiddin mungkin terpaksa berundur, tetapi mereka hanya hantar SD, terserahlah kepada bekas Perdana Menteri itu membuat keputusan.
Dulu bolehlah Muhyiddin terpaksa berundur sebagai Perdana Menteri sebab ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap beliau dan mengikut Perlembagaan Persekutuan beliau mesti meletakkan jawatan…tiada pilihan lain.
Tetapi Bersatu adalah parti politik tak terikat dengan Perlembagaan Persekutuan. SD tersebut tidak memberi kesan kepada kedudukan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu, lagipun ketika Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Shah Alam Ahad lalu, semua pemimpin dan perwakilan menyatakan sokongan kepada beliau.
Sebelum perhimpunan itu, semua tahu bahawa ia gelanggang untuk memperkukuhkan parti bagi membuat persiapan PRU-16 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) tetapi malangnya ada gerakan yang cuba melaga-lagakan kepimpinan Bersatu sekaligus ‘mengubah hala tuju’ perhimpunan berkenaan.
Usul Ucapan Dasar Presiden yang dibentangkan pula sama sekali tidak membantu sebaliknya hanya ‘memanaskan’ keadaan dengan ayat ‘’pengkhianatan’, Si Kitol dan ‘musuh masuk rumah kita’.
Langkah seperti itu tidak memberi manfaat kepada parti, rakyat tertanya-tanya adakah Muhyiddin benar-benar tergugat sehingga terpaksa dimasukkan menjadi salah satu isi dalam usul ucapan dasar Presiden mempertahankan beliau sebagai Presiden Bersatu dan menjadi calon Perdana Menteri?
Sepatutnya ia menumpukan perhatian kepada persiapan menghadapi pilihan raya dengan merancang strategi bagaimana mahu memperkukuhkan parti bukannya medan untuk mengguling sesiapa atau mempertahankan sesiapa!
Bagaimanapun ucapan beberapa pemimpin semasa sesi penggulungan khususnya Muhyiddin dan Hamzah telah memulihkan kembali keadaan selepas pada hari pertama tercetus sedikit kekecohan.
Semua pemimpin sudah menyatakan sokongan kepada Muhyiddin dan kesetiaan kepada parti. Hamzah sendiri secara terbuka melafazkan kesetiaan kepada Muhyiddin justeru sekarang masa untuk melakukan persiapan menghadapi PRU dan PRN.
Tidak mengapa Bersatu meluluskan usul menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri Bersatu, baguslah semua sokong lagipun beliau memang layak dicalonkan tetapi Bersatu juga pasti faham komponen lain dalam Perikatan Nasional juga berhak menamakan calon mereka dan calon PM mesti mendapat sokongan semua parti dalam gabungan itu.
Tetapi soal calon PM boleh dibincangkan kemudian kerana apa yang penting menang dulu pilihan raya. Dan untuk menang pilihan raya, jangan ada mana-mana individu yang mahu menjadi ‘batu api’ melaga-lagakan antara pemimpin.
Percubaan mereka ketika perhimpunan dengan mengaitkan Hamzah dengan gerakan menjatuhkan Muhyiddin telah gagal. Pemimpin dan perwakilan melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana kedua-duanya berpelukan seperti abang adik selepas Hamzah menamatkan ucapannya sehingga ada yang menitis air manakala ‘sang adu domba’ mengeluh kecewa.
Kesatuan hati antara dua pemimpin ini jangan dirosakkan oleh virus cucuk mencucuk yang disebarkan oleh mana-mana pemimpin lain dalam Bersatu. Perlu diingat jika dua pemegang jawatan tertinggi itu ‘berperang’ parti akan menempah kehancuran.
Akhirnya dalam pilihan raya kekuatan parti akan terjejas dan Bersatu mungkin akan kalah teruk. Apabila itu berlaku musuh politik Bersatu akan ‘ketawa berguling-guling’ kerana Bersatu paling awal umum calon Perdana Menteri. Adakah itu yang dimahukan?
Justeru mengambil semangat dan suasana ketika hari terakhir perhimpunan agung pada Ahad lalu cukup-cukuplah hendak mengadu domba sesama sendiri. Muhyiddinpun sudah bertekad turun ke negeri-negeri untuk bertemu ahli Bersatu, Hamzah pula akan beri tumpuan di PRN Sabah, hentikan ‘kerja-kerja bodoh’ yang boleh menjejaskan usaha kedua-dua pemimpin itu.
Kalau Bersatu mahu dihormati, kalau mahu Bersatu digeruni, dihormati kawan dan lawan, kalau mahu Bersatu menang banyak kerusi, kalau Bersatu mahu jawatan Perdana Menteri…jangan ada batu api, jangan ada ‘trojan horse’ dan jangan ada ‘kaki fitnah’…kenapa penulis kata begitu…siapa makan cili dia rasa pedas!
Cukup-cukuplah… gandingan Muhyiddin-Hamzah harus diberi ruang untuk melaksanakan amanah yang diberikan oleh perwakilan dengan tenang. Penulis faham majoriti pemimpin Bersatu asalnya datang daripada parti lain tetapi kalau ada perangai buruk daripada parti asal janganlah dibawa penyakit itu masuk ke dalam Bersatu walaupun kita tahu ada ‘sesetengah penyakit susah nak diubati’.


