Muhyiddin tiada masalah dengan Hamzah, anggap surat layang mahu pecah belahkan parti

 PRESIDEN  Bersatu Tan  Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan beliau tidak mempunyai masalah dengan Timbalan Presiden parti Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Sehubungan itu beliau  menyifatkan penyebaran surat layang yang kononnya menuduh Hamzah mahu menjatuhkan kepemimpinannya sebagai satu muslihat untuk memecahbelahkan parti.

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, beliau tidak pernah membaca surat berkenaan dan  menolak dakwaan bahawa hubungannya dengan Hamzah bermasalah.

“Saya tak baca pun surat layang (yang dimaksudkan), tak sampai pada saya. Saya ada dengar berkaitan surat layang itu tapi saya nak jelaskan, yang penting sekarang ini saya tumpu kepada soal perpaduan yang kukuh.

“Saya tak tahu sumber mana yang dia buat berita (surat layang). Bagi saya, itu tidak beretika. Saya fikir mungkin muslihatnya adalah untuk memecah belahkan. Saya tidak ada masalah dengan Datuk Seri Hamzah,” katanya lapor Sinar Harian.

Sebelum  ini tersebar surat layang yang menuduh Hamzah memainkan peranan bagi menggerakkan penubuhan Majlis Eksekutif PN sebagai salah satu muslihat untuk menyingkirkan Muhyiddin daripada jawatan Presiden.

Muhyiddin berkata, apabila wujud tuduhan sedemikian, beliau ingin tahu apa asasnya.

‘’Soal pokok sama ada nak siasat atau tak siasat, itu kemudian. Apa yang penting bagi saya, nak tumpukan pada parti. Parti mesti kuat, jangan berpecah belah. Musuh sentiasa ada di sekeliling kita, nak cari jalan bangkitkan perkara-perkara yang tidak ada ataupun entah apa sebab. Tapi pokok yang pertama, saya tak baca. Saya tak tahu apa cerita itu,” jelasnya.

Ditanya sama ada beliau lebih bimbang dengan musuh dari dalam atau luar parti, Muhyiddin menegaskan kedua-duanya memberi kesan yang sama terhadap kekuatan Bersatu.

“Saya tak kisah. Musuh di dalam dan luar itu sama sahaja kerana kesan dan impaknya. (Musuh) Dalam saya tak tahu. Ini orang kata ada cerita, saya tak tahu. (Musuh) Luar saya tak tahu. Lillahitaala, saya tak pernah baca pun apa-apa. Saya baca kenyataan orang yang baca surat layang tapi saya tak pernah baca,” katanya.

Muhyiddin berkata, isu sensasi seperti itu hanya bertujuan untuk mengalih perhatian daripada agenda utama Bersatu, khususnya menjelang Perhimpunan Agung parti yang akan datang.

“Apa yang penting, saya nak beritahu parti akan tumpu dalam perhimpunan agung nanti ialah soal kerjasama, perpaduan. Tapi kadang-kadang cerita sensasi macam inilah, awak semua suka dengar. Bawa berita begini, sebar luaskan, ia berdosa. Kalau kita Islam, menyebabkan fitnah, bawa cerita surat layang, berdosa,” katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak melakukan perbuatan tidak beretika yang boleh menjejaskan maruah individu serta merosakkan parti.

“Sebab Allah kata jangan buat kerja-kerja yang tak senonoh. Buat juga kerja macam ni, saya tak ada apa. Tapi saya kata siapa yang melaksana ataupun membuat perkara-perkara seperti itu yang tak senonoh, berdosa. Dan tak baik bagi diri dia dan tak baik bagi parti, kalau ada,” tegasnya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img